Perkarangan luar bangunan Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Dana asing melupuskan sejumlah RM1.18 bilion ekuiti tempatan minggu lalu, paras yang tidak pernah dilihat sejak Oktober tahun lalu.

Jualan ketara asing bermula pada hari Isnin dengan sejumlah RM288.6 juta dan pada hari Selasa pula sebanyak RM253.1 juta selepas China mengumumkan tarif berjumlah AS$60 bilion ke atas barangan Amerika Syarikat bermula 1 Jun ini.

Pertikaian perdagangan antara China dan Amerika Syarikat berterusan meskipun Presiden Donald Trump dan Xi Jinping akan bertemu dalam Sidang Kemuncak G20 pada bulan depan.

Situasi itu memberi kesan ke atas bursa tempatan apabila ia ditutup di bawah paras 1,600 mata – kali pertama sejak September 2015.

MIDF Research berkata, jumlah aliran keluar berkurangan pada hari Rabu kepada RM91.6 juta, paling rendah minggu lalu.

Menurutnya, kebanyakan pasaran susut dipacu oleh pertumbuhan yang mengecewakan bagi pengeluaran industri dan jualan runcit China bagi April 2019, menyebabkan potensi rangsangan ekonomi.

Hari Khamis mengalami peningkatan dalam jualan bersih asing mencecah RM371.7 juta.

Perang perdagangan semakin buruk antara Amerika Syarikat dan China memberi positif kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Negara yang melebihi jangkaan.

Firma penyelidikan itu berkata, kelembapan dalam aliran keluar bersih asing berlaku pada Jumaat kerana dana ekuiti asing yang dilupuskan di bawah RM200 juta.

Sentimen positif semula sebahagiannya disebabkan kenaikan dalam saham ekuiti Amerika Syarikat beberapa syarikat merekodkan pendapatan kukuh seperti Walmart dan data perumahan bulan April yang lebih baik daripada jangkaan.

Pada asas bulan ke bulan, MIDF Research berkata, Malaysia telah mencatatkan aliran keluar bersih asing sebanyak RM1.71 bilion pada bulan Mei 2019.

Ia menjadikan jumlah aliran keluar bersih asing setakat ini adalah RM4.46 bilion. – MalaysiaGazette