Gambar hiasan

BEIJING – Tiga syarikat penerbangan China akan menuntut pampasan kepada Boeing kerana kerugian akibat terpaksa menggantung operasi dan penangguhan pesawat 737 MAX.

Jurucakap Air China Ltd dan China Southern Airlines Co Ltd memberitahu, pihaknya telah mengemukakan tuntutan itu, sebagai tambahan kepada permintaan sama yang dibuat oleh China Eastern Airlines Corp Ltd sebelum ini.

Tuntutan berkenaan telah dilaporkan oleh stesen televisyen China.

China adalah negara pertama yang menggantung operasi 737 Max selepas Ethiopian Airlines terhempas dan mengorbankan 157 orang pada Mac lalu.

Nahas itu merupakan insiden kali kedua bagi model pesawat terbaharu Boeing selepas Lion Air, lima bulan sebelumnya.

“China telah menggantung 96 pesawatnya, kira-kira 4 peratus daripada pesawatnya. Langkah itu menyebabkan kerugian besar bagi syarikat penerbangan China,” kata pakar penerbangan China, Li Xiaojin.

Kerugian sehari dianggarkan sekurang-kurangnya 100,000 yuan (AS$14,4469.90) bagi setiap pesawat bagi setiap syarikat.

“Potensi kos juga besar. Pertumbuhan perlahan dalam jumlah penumpang di seluruh lapangan terbang utama China pada bulan Mac dan April sebahagian besarnya disebabkan oleh penggantungan pesawat 737 MAX jet, menurut pengiraan saya,” kata Li.

Syarikat penerbangan di luar China juga meminta Boeing pampasan, termasuk Turkish Airlines, United Airlines, Ryanair dan Flydubai. – MalaysiaGazette