Nike antara pengeluar kasut yang mahu Donald Trump hentikan perang perdagangan dengan China. - foto Agensi

WASHINGTON – Beberapa firma kasut terbesar di dunia mendesak Donald Trump menamatkan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China, sambil memberi amaran tentang kesan “bencana” kepada pengguna.

Dalam surat yang ditandatangani oleh 170 syarikat, termasuk Nike dan Adidas, mereka berkata, keputusan Presiden AS untuk menaikkan tarif import kepada 25 peratus akan memberi impak yang tidak seimbang kepada pekerja.

Firma-firma itu juga memberi amaran bahawa levi yang lebih tinggi mengancam masa depan beberapa perniagaan.

“Sudah tiba masanya untuk menamatkan perang perdagangan ini,” gesa firma-firma itu.

Trump mengenakan levi import bernilai AS$ 200 bilion bagi barangan China dari 10 peratus hingga 25 peratus sejak seminggu lalu selepas Washington dan Beijing gagal mencapai perjanjian perdagangan.

China membalas dengan mengumumkan rancangan untuk meningkatkan levi bernilai AS$ 60 bilion bagi import AS mulai1 Jun.

Syarikat-syarikat kasut yang menandatangani surat itu, termasuk Clarks, Dr Martens dan Converse, mendakwa purata tarif AS bagi kasut adalah 11.3 peratus, dalam beberapa kes, ia boleh mencapai setinggi 67.5 peratus.

“Menambah kenaikan cukai sebanyak 25 peratus ke atas tarif ini bermakna beberapa keluarga Amerika yang bekerja perlu membayar duti hampir 100 peratus untuk kasut mereka,” kata syarikat itu.

Ketika menaikkan tarif awal bulan ini, Trump memberitahu syarikat-syarikat bahawa mereka dapat mengurangkan kos dengan memindahkan pengeluaran ke AS.

Walau bagaimanapun, pembuat kasut dan peruncit berkata: “Kasut adalah industri yang sangat berintensifkan modal, dengan tahun-tahun perancangan diperlukan untuk membuat keputusan sumber dan syarikat tidak dapat hanya memindahkan kilang-kilang untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini”. – MalaysiaGazette