KUALA LUMPUR – Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan beraksi pada malam ini menentang Gyeongnam FC di Korea Selatan akan memberi penghormatan khas buat Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Menurut kenyataan rasmi kelab tersebut, Presiden JDT, Tun Aminah Sultan Ibrahim berkata pihaknya telah menghantar permintaan khas daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Jelas beliau, ini kerana JDT mahu memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah dengan melakukan penghormatan selama seminit serta memakai lilitan hitam.

“Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah meluluskan permintaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk memakai lilitan lengan hitam dan melakukan penghormatan one minute of silence kepada KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.

“(Penghormatan 1 minute silence akan dilakukan) sebelum sepak mula perlawanan Liga Juara-Juara AFC peringkat kumpulan menentang Gyeongnam FC di Republik Korea malam ini,” kata kenyataan itu sebentar tadi.

Aksi JDT malam ini dalam usaha menghidupkan semula harapan mereka untuk mara ke pusingan kalah mati.

Sementara itu, Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi ini.

Dalam arena bola sepak, nama almarhum terlalu dekat untuk peminat bola sepak Malaysia serta Asia.

Almarhum pernah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari tahun 1984 sehingga 2014.

Selain itu, Almarhum Sultan Ahmad Shah juga pernah menjawat jawatan Presiden AFC pada 1994 sehingga 2002.

Baginda dipilih menjadi Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) pada 2011. – MalaysiaGazette