Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua kanan) menemani Sultanah Hajah Kalsom (kanan) mengiringi Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dibawa masuk kedalam Pesawat Airbus A400M untuk diterbangkan ke Pekan, Pahang di Balai Pelepasan Pangkalan Udara TUDM Subang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 22 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Jenazah Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar dibawa keluar dari Istana Negara untuk diterbangkan ke Pahang menerusi penerbangan khas oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Jenazah almarhum dibawa keluar pukul 5.05 petang dengan menggunakan kenderaan jenazah milik Angkatan Tentera Diraja Malaysia.

Turut mengiringi jenazah lapangan terbang iaitu kerabat-kerabat diraja termasuk orang kenamaan dan pembesar negara dengan dikawal rapi anggota pasukan keselamatan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tiba di Istana Negara pukul 3.55 petang dengan ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Beliau meluangkan masa hampir satu jam sebelum kenderaan membawanya meninggalkan perkarangan istana kira-kira jam 4.40 petang.

Turut hadir memberi penghormatan iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pagi tadi, jenazah Almarhum Sultan Ahmad Shah dibawa dari Institut Jantung Negara (IJN) ke Istana Negara pada pukul 11 pagi.

Sejak daripada itu, kenderaan-kenderaan yang melalui pintu utama Istana Negara menjadi perhatian, terutama pihak media.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, turut dilihat hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Selain itu, turut kelihatan kenderaan-kenderaan kerabat diraja Selangor; Johor; Perlis dan Negeri Sembilan serta Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob. – MalaysiaGazette