SEPANYOL – Manchester City harus dicampak keluar dari Eropah kerana memalukan imej bola sepak rantau ini, bidas Pengerusi La Liga Sepanyol.

Javier Tebas percaya Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) perlu bertindak tegas ke atas Man City selepas pasukan penyiasat akui wujud perlanggaran Peraturan Kewangan Bersih (FFP) oleh kelab yang dibiayai orang kaya Timur Tengah.

Kelab England kendalian Pep Guardiola kini berdepan hukuman Uefa dalam beberapa minggu lagi.

Kelab itu dijangka berdepan penggantungan pembelian dan penjualan pemain selama setahun yang dikatakan akan disyorkan oleh Presiden Jawatankuasa Siasatan yang diketuai bekas Perdana Menteri Belgium, Yves Leterme.

“Masalah kelab Man City dan PSG adalah mereka menandatangani pemain melampaui pendapatan kelab.

“Beberapa tahun lalu kami pernah menyatakan kelab berkenaan melanggar peraturan FFP dan kami mengulanginya sekali lagi,” katanya.

Katanya kerosakan besar berlaku dalam sektor bola sepak Eropah yang mana sesebuah kelab terpaksa menanggung bayaran yang agak besar untuk menyimpan pemain mereka.

“Apatah lagi kelab seperti Juventus, Real Madrid dan Bayern Munich perlu meletakkan nilai pasaran yang tinggi terhadap pemain mereka supaya tidak ‘disamun’ kelab yang dibiayai orang kaya sesebuah negara.

“Jika kita membenarkan aliran wang yang bukan dijana industri bola sepak sendiri sebaliknya daripada negara yang membiayai kewangan kelab itu, ia bukan lagi mempamerkan industri bola sepak yang sihat.

“Ia akan lebih kelihatan seperti alat permainan kanak kanak yang boleh merosakkan keseluruhan sistam bola sepak,” kata tebas yang cuba menekan Uefa untuk bertindak ke atas City.

Pada tahun 2017, City pernah memberi amaran kepada Tebas yang melemparkan tuduhan yang sama ke atas kelab itu.

Man City didakwa pernah menghantar notis guaman meminta Tebas memperbetulkan kenyataan untuk mengelak tindakan mahkamah di Manchester jika menuduh tanpa berasas.

“Saya sehingga sekarang tidak dipanggil City untuk menghadap di mahkamah. Jadi saya kekal dengan pendirian itu. tetapi pembongkaran kesalahan City mengambil masa yang lama,” katanya yang mengharapkan PSG juga disingkirkan daripada saingan Eropah.- MalaysiaGazette