Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dituntut memohon maaf di atas fitnah terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung projek Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Ini kerana, segala penipuan yang ditabur semasa kempen PRU14 dalam usaha mereka untuk menjatuhkan imej BN dan menghasut kebencian rakyat terhadap kerajaan ternyata fitnah semata-mata.

Ia terbukti apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming memuji projek MCKIP baru-baru ini, sekali gus  membuktikan PH telah melakukan fitnah dan penghasutan.

Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Pahang, Quek Tai Seong menyifatkan kenyataan Kor Ming itu juga merupakan pengakuan terhadap pencapaian kerajaan BN.

Sebelum ini, projek MCKIP didakwa PH sebagai “menjual negara kepada China” dan tidak menguntungkan penduduk tempatan kerana hanya pekerja-pekerja dari China diambil bekerja di kilang-kilang berkenaan.

Malah, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menegaskan bahawa “Tembok Besar China Kuantan” harus diroboh.

Namun, kata Tai Seong yang juga Pengerusi MCA Indera Mahkota, selepas setahun, Kor Ming memuji potensi MCKIP sebagai perangsang ekonomi bagi negara yang telah membawa masuk pelaburan berjumlah RM12 bilion dan bakal mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan dalam beberapa tahun lagi.

“Kesemua fakta ini pernah ditekankan oleh pemimpin-pemimpin BN dahulu dan kami berterima kasih kepada beliau kerana memperakui keputusan dan pencapaian kerajaan BN,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel berkaitan:Dulu maki projek MCKIP, sekarang puji macam PH yang usahakan

Tegas Tai Seong, projek MCKIP ini memang bermanfaat kepada negara dan juga merupakan sebahagian Inisiatif Belt and Road (BRI) oleh China untuk menjadikan Malaysia amnya, dan Pelabuhan Kuantan khususnya, sebuah hab logistik maritim di rantau Asia Tenggara, sekaligus meningkatkan pendapatan negara dan merangsangkan industri eksport negara.

“Walaupun pusingan U kerajaan PH kali ini dialu-alukan kerana dibuat atas logik dan fakta, dan bukannya mengikut perasaan semata-mata, namun keyakinan pelabur telah terjejas, terutamanya dari China, ekoran kegagalan kerajaan PH menangani cabaran ekonomi yang telah menyebabkan terhakisnya keyakinan mereka terhadap kerajaan.

“Oleh itu, ia diharapkan bahawa PH akan mempelajari dari kesilapan mereka, dan tidak membuat janji-janji dengan sewenang-wenangnya tanpa mengendahkan padahnya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here