Mukhriz Mahathir

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) menafikan kononnya mempunyai agenda apabila didakwa melambatkan penyerahan geran tahunan kepada semua pasukan bertanding dalam Liga Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Sri Mukhriz Mahathir itu jelas memperlihatkan beliau tidak mengikuti isu berkenaan dengan teliti.

“Dua hari lalu Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman buat kenyataan mengenai cukai pemain bola sepak dan sebagainya.

“Respons daripada warga industri bola sepak amat memberangsangkan bila mereka menyokong dan berkata jika mahu melihat industi bola sepak tempatan ini ke arah lebih maju, lebih baik ada sumbangan untuk membantu dan bukannya sekadar berkata-kata.

“Hari ini pula tiba-tiba Presiden KFA membuat satu kenyataan  kelewatan penyerahan geran tahunan telah menjejaskan pasukan-pasukan.

“Ternyata respons daripada penyokong dalam komen-komen berkenaan kenyataan itu membuktikan peminat bola sepak tempatan sudah matang dan boleh melihat sendiri kenyataan ini cuma untuk menampakkan keburukan sesetengah pihak terutama Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Kami ingin menyatakan bahawa pengagihan geran tahunan berkait dengan hak penyiaran ini adalah pertama kali dalam sejarah dilakukan pada tahun lepas.

“Ini adalah satu kejayaan MFL dan apabila kami dalam proses berkembang dan terus melaksanakan projek-projek yang akan memartabatkan industri bola sepak di dalam tempoh panjang namun kita telah direncatkan dengan penarikan diri salah satu daripada penaja utama kami iaitu Telekom Malaysia (TM).

“Ingin kami nyatakan kenyataan Presiden KFA itu mungkin ada agenda lain di dalam MFL. Oleh sebab itu beliau menyifatkan pihak MFL tidak mahu menyerahkan geran tahunan itu lagi.

“Ternyata beliau tidak mengikuti perkembangan Liga Malaysia dengan teliti. Jika beliau mengikuti perjalanan Liga Malaysia sudah pasti beliau tahu faktor kelewatan geran tahunan itu disebabkan penarikan diri daripada penaja utama kami (TM) yang  menghadapi masalah selepas bertukar pucuk kepimpinan sejurus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Mei lalu.

“Jika Presiden KFA mahu mencetuskan kontroversi dengan berkata bahawa beliau tiada agenda, pihak MFL pula ingin bertanya adakah wujud agenda apabila pihak TM secara tiba-tiba berubah dalam pengurusan mereka dengan pihak MFL sejurus selepas PRU pada tahun lepas?

“Ini adalah satu perkara yang kita cuba elak sebelum ini tetapi jelas secara tiba-tiba ahli-ahli politik ini mahu membuat pelbagai komen dan sudah jelas MFL menjadi sasaran mereka,” katanya.

Mukhriz menerusi media tempatan membuat satu kenyataan bahawa beliau berharap tiada agenda tersembuyi oleh MFL mengenai isu geran pasukan.

Mukhriz melahirkan kerisauan tersebut kerana proses pembayaran itu sudah mengambil masa yang cukup lama serta bimbang akan hanya memberikan persepsi buruk kepada Liga Malaysia.

Tapi apa yang jelas di sini, tindakan Mukhriz mempertikaikan usaha MFL ini, seperti mahu mencetuskan persepsi buruk kepada badan yang berusaha mendapatkan dana membantu kewangan setiap pasukan.

Malah lebih mengecewakan, beliau seperti tidak mengendahkan rayuan beberapa pemain seperti Shukor Adan, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Matthew Davies yang membuat kenyataan mahu semua pihak memberi sokongan kepada MFL daripada terus memberi kenyataan negatif kerana bimbang boleh memberi kesan kepada periuk nasi pemain apabila pasukan kehilangan penaja.

Bagaimanapun dengan kesulitan untuk membantu semua pasukan mendapatkan geran tahunan, MFL yang diterajui Mejar  Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak hanya berpeluk tubuh, sebaliknya terus berusaha mendapatkan penajaan baharu selepas ketiadaan TM.

Malah MFL sebenarnya sudah bersedia dengan segala kemungkinan, tidak hanya bersandarkan kepada satu penaja bagi mengelakkan operasi MFL yang mengendalikan Liga Malaysia lumpuh sama sekali.

Ini terbukti apabila Liga Malaysia tetap berjalan dengan baik, malah bertambah rancak.

“MFL sebenarnya sudah menjangka situasi ini dan disebabkan itu, kita berusaha sedaya upaya untuk memastikan pelaburan ke dalam MFL ini bukan daripada satu syarikat besar di Malaysia tetapi daripada luar negara yang mana mungkin kita lebih selamat.

“Jadi semua perkara ini mengambil masa dan kamisedaya upaya mahu memastikan masa depan Liga Malaysia terjamin dengan tiada apa-apa bantuan atau sokongan daripada pihak-pihak tertentu. Kita sedar komen pada beberapa hari lalu oleh pihak tertentu hanya mahu meletakkan lebih tekanan kepada MFL.

“Kami berharap jangan politikkan bola sepak tempatan dan bola sepak perlu lebih jauh daripada politik kerana bola sepak adalah sukan utama rakyat Malaysia,  di mana perlu diberikan perhatian positif, bukan digunakan sebagai pentas politik untuk mempopularkan diri dengan menggunakan kenyataan tertentu jika tidak mendapat sambutan di pentas yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette