Singa antara haiwan yang akan dirampas dan dipindahkan dari sebuah zoo di Quebec. foto Agensi

OTTAWA – Seorang pemilik sebuah zoo Kanada telah didakwa melakukan jenayah kekejaman haiwan dan haiwan-haiwan di premis itu dirampas oleh pihak berkuasa.

Pemilik Zoo St-Edouard di Quebec tersebut menghadapi dua tuduhan kekejaman dan pengabaian yang meliputi lebih dari 100 ekor haiwan di zoo itu.

Ia termasuk singa, harimau, zebra, beruang, serigala, kangaru dan monyet.

Pemindahan haiwan-haiwan itu akan dibuat dalam beberapa minggu lagi.

Kekejaman itu terbongkar selepas SPCA Montreal menerima aduan daripada orang awam lalu melancarkan siasatan pada akhir Ogos tahun lalu.

Pegawai perlindungan haiwan mendapati “beberapa masalah membabitkan keadaan fizikal haiwan dan keadaan hidup mereka”, selain merampas dua ekor alpaka yang dalam keadaan menyedihkan.

Mereka juga menemui bangkai empat ekor haiwan, termasuk dua ekor harimau.

Pemilik zoo berkenaan, Norman Trahan, telah didakwa dan bakal menghadapi hukuman lima tahun penjara dan diharamkan seumur hidup membela haiwan.

Ia merupakan pertuduhan pertama dikenakan ke atas pemilik zoo persendirian di negara ini. – MalaysiaGazette