Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini tersepit sehingga terpaksa melakukan pendekatan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia dapat dilihat dalam kemelut Perbadanan Pinjaman Tinggi Pendidikan Negara (PTPTN).

“Sekarang mereka baru menyedari banyak pendekatan BN dulu adalah tepat. Namun kerana terikat dengan janji tidak munasabah yang ditabur, ia menjadi sukar pada PH.

“Ketika ini, PH hanya menyambung sahaja apa yang BN laksana dahulu. Masih tidak ada sesuatu pembaharuan PH lakukan kecuali menghapuskan sekatan imigresen yang realitinya menjadi antara punca kutipan balik PTPTN merosot,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shamsul Anuar, seperti Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH), PH cuba mencipta naratif dengan mendakwa betapa teruknya polisi dan dasar PTPTN dahulu dan akhirnya mahu muncul sebagai jaguh menyelesaikan masalah PTPTN.

“Saya adalah Pengerusi PTPTN (2013 – 2018) iaitu selepas PRU 13. Dalam tahun 2013, iaitu sebelum dan selepas PRU13. Saya masih ingat apabila aliran kewangan PTPTN ketika itu menjadi begitu teruk.

“Ramai peminjam terpengaruh apabila dalam kempen PRU13, PKR dan pembangkang yang lain melalui tokoh mereka seperti Nurul Izzah, Rafizi Ramli dan ramai lagi berjanji untuk hapuskan hutang.

“Kesannya, ramai terpesona. Mereka tidak mahu membayar hutang pinjaman dalam tempoh itu kerana percaya PTPTN akan dihapuskan.

“PTPTN dijadikan modal politik bagi menarik sokongan anak muda. Akibatnya kutipan jatuh dan PTPTN berjaya mengutip pinjaman hanya sekitar RM50 juta sebulan, iaitu sekitar RM600 – RM700 Juta sahaja setahun. Keadaan ini menimbulkan masalah kepada aliran kewangan PTPTN,” katanya.

Akibat dana tidak cukup, menurutnya, PTPTN terpaksa mengambil langkah drastik dan langkah ini diakui tidak popular tetapi penting kepada kelastrian PTPTN.

PTPTN, terpaksa membuat potongan jumlah pinjaman sebanyak 5% kepada pelajar ke IPTA dan 15% pinjaman pelajar ke IPTS. Kemudian untuk jumlah pinjaman terpaksa meletakkan syarat tertentu kepada peminjam.

Malah PTPTN memulakan tindakan CRISS ketika itu. Langkah ini dibuat kesan kutipan yang rendah, dan puncanya turut disumbangkan oleh pembangkang (kerajaan PH sekarang) yang tidak bertanggungjawab ketika itu, katanya.

Namun demikian menjelang PRU14, PH sekali lagi mempengaruhi rakyat dan mereka mejanjikan untuk mulakan bayaran balik ditangga gaji RM4, 000 sebulan, pendidikan percuma dan hapuskan sekatan imigresen.

“Suara suara Rafizi Ramli, Nurul Izah, Azmin Ali dan lain lain termasuk Adam Adli, Syed Sadiq sekali lagi berkumandang dan menjuarai isu ini. Ini menyebabkan ramai tidak membayar pinjaman kerana menanti janji berkenaan.

“Keadaan ini menyebabkan kutipan menurun pada penghujung 2018 kepada hanya RM3.3 Bilion berbanding sebelumnya dan tidak melepasi sasaran KPI. Tindakan PH melaksanakan penghapusan sekatan imegresen, juga menjadi punca kepada penurunan kutipan balik wang PTPTN.

“Semua ini adalah fakta yang sesiapapun tidak boleh menafikannya. Kerajaan PH sekarang bertanggungjawab kepada semua ini kerana hanya mahu populis,” ujarnya.

Kini, beliau berkata, PH mula sedar bahawa banyak langkah BN yang mereka tentang dulu, adalah baik sebenarnya.

“Jalan terbaik ikutlah apa yang PTPTN lakukan sewaktu BN dahulu, cuma tutuplah muka supaya PH tidak malu. Lagipun, apa salahnya PH memang suka tukar nama dan kulit saja, tapi kalau pembaharuan lesen memandu, roadtax, pasport, lesen perniagaan pun disekat kerana tidak membayar pinjaman ia sangat kejam,” ujarnya.- MalaysiaGazette