Dr Ibrahim Ali mempengerusikan Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi Putra di Ulu Kelang.
Dr Ibrahim Ali mempengerusikan Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi Putra di Ulu Kelang.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) baharu yang diputuskan dalam mesyuarat kali pertama parti itu petang semalam.

Menurut Ibrahim, senarai kepimpinan baharu Putra yang diumumkan hari ini juga menyaksikan penyertaan 14 muka baharu secara lantikan dibuat mengikut perlembagaan parti Melayu itu.

Ibrahim berkata, senarai kepimpinan Putra itu berkuat kuasa hari ini untuk tempoh satu tahun dan menjelang Mei 2020, parti itu bakal mengadakan persidangan agung tahunan yang pertama.

“Pada hari ini kita telah luluskan dalam mesyuarat ADT terdiri dalam kalangan tokoh profesional, tokoh akademik, tokoh politik, golongan anak muda dan gabungan pelbagai golongan.

“Mereka ini secara sukarela telah menyertai PUTRA dan sanggup berjuang dalam parti ini sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Masih ada lagi tujuh kekosongan jawatan dan kalau jawatan penuh diisi, mungkin kita akan lantik juga tokoh-tokoh yang akan dijemput hadir mesyuarat ADT PUTRA akan datang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat ADT kali pertama, di Hotel Putra hari ini.

Ibrahim juga berkata, sebelum mengadakan persidangan agung Putra tahun depan, beliau akan memastikan semua negeri akan mempunyai pimpinan tertinggi.

Selain barisan kepimpinan, Ibrahim turut mengumumkan cogan kata parti itu iaitu Berjuang, Berkhidmat dan Berkorban atau 3B, manakala tagline pula ialah Putra Perkasa Negara.

“Insya-Allah jika berjalan lancar, kita akan lancarkan Putra secara rasmi dan sasaran kita pada 31 Ogos ini (petang Hari Merdeka) atau 16 September (Hari Malaysia).

“Ia bergantung kepada prestasi dan kemajuan penubuhan bahagian dan cawangan Putra di seluruh negara.

“Kita juga telah menetapkan untuk mengadakan Persidangan Agung pertama pada 8 Mei 2020, setahun dari sekarang, iaitu setahun daripada kita menerima kelulusan parti,” katanya.

Bagi tujuan itu juga, kata Ibrahim Putra perlu mengadakan mesyuarat bahagian dan cawangan parti itu selewat-lewatnya dari Februari hingga April 2020 sebelum persidangan agung boleh dijalankan.

“Kalau capai 80 peratus, Persidangan Agung pertama pada boleh dijalankan pada 8 Mei 2020.

“Kita berharap dapat tubuh cawangan dan bahagian sekurang-kurangnya 40 peratus pada penghujung Julai 2019 dan menjelang akhir tahun pula kita mensasarkan sehingga 70 peratus penubuhan bahagian dan cawangan.

“Bagi tujuan itu juga, kita sudah edar borang kepada sesiapa nak jadi ahli, semua pihak terutama kaum Bumiputera termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

SENARAI PELANTIKAN AHLI MAJLIS TERTINGGI PUTRA 2019-2020

Presiden: Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali

Timbalan Presiden: Tan Sri Mohd Khalid Mohd Yunos

Naib Presiden:
1) Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
2) Datuk Hamidah Osman
3) Hassan Basri Muhammad

Setiausaha Agung: Arshad Aliman
Bendahari Agung: Hamzah Ahmad Zainuddin
Ketua Penerangan: Borhan Ahmad Zakaria
Ketua Urusetia: Syed Hassan Syed Ali

Sayap Putra
Ketua Wira: Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Ketua Wiranita: Intan Rahmah Ali
Ketua Wirawati: Dr Norasmah Mohd Razalli

AHLI DEWAN TERTINGGI

1) Norlizaizul Ismail
2) Jeffrus@Maimin Rijan
3) Dr Mohammad Nizam Ibrahim
4) Dr Mohd Nurul Hafiz Ibrahim
5) Aminah Abdullah
6) Nurhafizah Jamaluddin (Naib Ketua Wirawati)
7) Mohd Nazri Tajul Ariffin (Naib Ketua Wira)
8) Laksamana (B) Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar
9) Profesor Datuk Dr Mohd Nasir Saludin
10) Harmy Yusoff
11) Datuk Zakaria Abd Rahman
12) Datuk Mohammad Radzhi Salleh
13) Profesor Madya Mat@Muhammad Yusof
14) Jais Abdul Karim
15) Dr Mohd Helmi Ibrahim Mushiran
16) Datuk Umar Osman
17) Profesor Dr Che Musa Che Omar
18) Datuk Mohd Haniff Koslan
19) Dr Mohd Aluwi Sari