KUALA LUMPUR – Tiada kes monkeypox dikesan atau dilaporkan berlaku di Malaysia, kata Kementerian Kesihatan, sekali gus menafikan berita tular mengenai penularan virus itu di Johor dan Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat atau berita palsu yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat.

Menurut beliau, berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes monkeypox terkini dilaporkan i Singapura pada 9 Mei 2019 lalu dan hanya melibatkan seorang warga negara Nigeria yang datang ke Singapura pada 28 April 2019.

“Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Singapura menjadi kontak kepada kes monkeypox itu,” kata Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia merupakan kes pertama dilaporkan di Asia dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan ketat telah dan sedang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Singapura bagi mengurangkan risiko penularan penyakit tersebut.

Virus monkeypox berjangkit kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti dan virus ini boleh disebarkan melalui titisan pernafasan.

Virus monkeypox ini juga boleh disebarkan melalui kontak langsung dengan cecair badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian.

Tempoh inkubasi biasanya antara 6 hingga 21 hari. Pesakit akan mengalami gejala selama dua hingga empat minggu.

Menurutnya, tanda dan gejala jangkitan adalah demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti oleh bahagian-bahagian tubuh yang lain.

Tiada rawatan atau vaksin khusus untuk jangkitan monkeypox dan kemungkinan transmisi jangkitan dari manusia ke manusia adalah terhad.

Tambahnya, penyakit monkeypox telah dilaporkan di kawasan hutan hujan tropika di Afrika Tengah dan Barat sejak tahun 2005. Negara di kawasan ini adalah Republik Demokratik Congo, Republik Congo, Cameroon, Republik Afrika Tengah, Nigeria, Ivory Coast, Liberia, Sierra Leone, Gabon dan Sudan Selatan.

Ia dianggap endemik di Republik Demokratik Congo (DRC), dengan lebih daripada 1,000 kes disyaki setiap tahun. Nigeria telah melaporkan wabak monkeypox yang besar pada tahun 2017 hingga 2018.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan terus memantau status terkini kejadian monkeypox melalui maklumat terkini daripada pihak WHO.

Selain dari itu, penekanan diberikan kepada anggota kesihatan mengenai pemantauan kes yang disyaki monkeypox di Malaysia.

KKM juga ingin menasihati pelancong yang ingin pergi ke kawasan-kawasan yang melaporkan kejadian monkeypox di Afrika Tengah dan Barat untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan:
1. Mengekalkan kebersihan diri yang tinggi, termasuk mencuci tangan yang kerap selepas pergi ke tandas atau apabila tangan kotor;
2. Mengelakkan daripada sentuhan langsung dengan luka pada mereka yang dijangkiti, sama ada manusia mahupun haiwan, serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair tubuh kes, seperti pakaian yang kotor yang digunakan oleh orang yang dijangkiti;
3. Mengelakkan daripada bersentuhan dengan haiwan liar atau memakan dagingnya; dan
4. Pelancong yang tiba dari kawasan yang terdapat jangkitan monkeypox dan mengalami gejala penyakit ini dalam tempoh 3 minggu selepas meninggalkan kawasan tersebut dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat. Maklumkan kepada doktor yang merawat mengenai sejarah perjalanan tersebut. – MalaysiaGazette