Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) belum lagi mendapat aduan daripada umum berhubung kenaikan tambang penerbangan khasnya ketika menjelang musim perayaan.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang mengatakan sehingga kini beliau belum menerima rungutan daripada pengguna mengadu tentang tiket penerbangan meningkat mendadak.

Sebaliknya kata beliau, sehingga kini rekod aduan beliau menunjukkan antara tiga isu penting menghantui pengguna termasuk harga barang tinggi, penipuan atas talian dan ketiga, iklan mengelirukan.

“Setiap pagi, perkara pertama yang saya lakukan dengan telefon saya adalah menyemak aduan pengguna terlebih dahulu, antara yang menjadi masalah kepada pengguna termasuk isu harga barang naik, penipuan ‘online’ dan juga iklan-iklan mengelirukan.

“Saya belum dengar atau tengok aduan daripada pengguna tentang kenaikan harga tiket penerbangan, oleh yang demikian saya juga tidak bolehlah ‘jump the gun’ begitu sahaja.

“Perlu ada asas, tidak adil pula dengan industri penerbangan pula nanti, setakat ini belum ada aduan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian semula wajah baharu Pasar Raya Besar Giant Batu Caves di sini hari ini.

Saifuddin juga menasihatkan umum supaya lebih bijak merancang perjalanan seperti beliau bagi mengelak diri daripada berdepan dengan situasi kenaikan tambang penerbangan naik mendadak seperti itu.

“Saya tidak ada masalah itu kerana telah beli dengan lebih awal, perjalanan untuk 6 orang, saya dan anak-anak, kos saya untuk tiket sehala dari KL-Kelantan, saya bayar RM900 sahaja untuk hari raya pertama.

“Saya kemudian akan memandu sendiri ke Kedah selepas itu, dari Kedah ke KL pula, harga penerbangan saya untuk enam beranak berjumlah RM800. Total RM1,700. Pengguna perlu bijak merancang perjalanan dan memilih syarikat penerbangan murah,” ujarnya. – MalaysiaGazette