Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PUTRAJAYA – Biasiswa untuk pelajar Palastin yang kini mencetuskan pelbagai reaksi netizen seluruh negara adalah satu bantuan kemanusiaan yang akan memanfaatkan kepentingan Malaysia dan Palestin untuk jangka panjang.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Malaysia selaku negara berkebajikan dan peduli masalah komuniti antarabangsa tidak boleh mengambil pendirian tutup mata dan telinga terhadap konflik kemanusiaan yang dihadapi negara lain.

Menurutnya, Palastin adalah sebuah negara yang menjadi mangsa kezaliman Zionis, wajar mendapat bantuan kemanusiaan dan perhatian komuniti global.

“Jangan lupa bahawa Malaysia adalah negara yang berkebajikan dan berperikemanusiaan..bukannya negara berkecuali dan terasing dari negara lain serta sentiasa berada di hadapan dalam menghulurkan bantuan mana mana negara yang berdepan kesusahan.

“Ini suatu perkara yang Malaysia laksanakan sejak dahulu lagi, misalnya pada tahun 1990, Malaysia telah menyelamat dan membantu banyak pelajar Bosnia yang bergelut teruk dengan konflik ketika itu

“Kini mereka yang berjaya dan bekerjaya di sini, sekali gus membantu Malaysia membawa impak perkembangan ekonomi kita,” katanya dalam sidang media ketika diminta mengulas hasrat kerajaan yang mahu menghulurkan biasiswa pendidikan kepada anak Palastin itu.

Tambahnya kerajaan Bosnia juga membantu Malaysia mengamalkan dasar buka pintu untuk urusan perdagangan di negara itu sehingga mengangkat imej terbaik Malaysia.

Lantaran itu, beliau meminta rakyat memandang inisiatif kerajaan untuk jangka panjang pada perspektif misi kemanusiaan.

Terdahulu Syed Saddiq bercakap kepada pemberita mengenai kerjasama yang diperhalusi KBS bersama Manchester City dalam pembangunan bola sepak negara untuk jangka masa panjang.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan tawaran biasiswa kepada pelajar Palestin untuk mengikuti pengajian Ijazah Pertama, Sarjana, dan Falsafah Kedoktoran di 12 universiti tempatan awam dan swasta.

Pengumuman itu menimbulkan pelbagai reaksi rakyat yang mempersoalkan bagaimana bantuan itu akan memanfaatkan ekonomi negara.

Biasiswa bernilai RM11.48 juta itu akan disalurkan menerusi Organisasi Kebudayaan Palastin Malaysia (PCOM) di bawah inisiatif  Menteri Pendidikan Dr.Maszlee Malik.

Universiti yang dimaksudkan ialah Universiti Antarabangsa Albukhary , Universiti Mahsa, Kolej Universiti Islam Perlis, Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Univerisiti UCSI, Universiti Teknologi Petronas (UTP) , Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Sunway, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) and Universiti Utara Malaysia (UUM).- MalaysiaGazette