Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (kiri) beramah mesra dengan pegawai pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dewan Serbaguna MOA, Wisma Tani, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 23 MEI 2019.

PUTRAJAYA – Mempersiapkan petani kawasan pedalaman supaya menguasai pertanian moden seperti yang diracang dan mahu dilaksanakan Kementerian Pertanian bukan suatu yang mudah seperti yang disangkakan pelbagai pihak.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, untuk mempersiapkan petani kawasan pedalaman dan kampung yang bergelut dengan sumber terhad penanaman dan perusahaan tanah memerlukan pembangunan kemudahan infrastruktur yang luas.

“Ia bukan begitu senang untuk dilaksanakan seperti yang kita sangkakan sebab kita perlu membangunkan terlebih dahulu kemudahan infrastruktur yang kondusif dan luas.

“Jika tidak ada penyatuan tanah dan membawa masuk petani dengan hanya bergantung kepada dua hektar tanah terhad untuk tanaman padi itu sukar untuk bergerak ke arah penerapan pertanian moden yang kita impikan.

“Kita cuba laksanakan model baharu ‘penyatuan tanah, jika petani boleh menguruskan 50 hektar tanah pertanian maka mudah untuk jemput sektor swasta seiring cadangan kerajaan mahu menguruskan 5,000 hektar hingga 20,000 hektar untuk penanaman padi,” katanya dalam sidang media Perhimpunan Bulanan Kementerian pagi tadi.

Ahli Parlimen Pulai itu juga diminta menyatakan langkah kerajaan khususnya Kementerian Pertanian untuk menggalakkan lebih ramai golongan muda dalam sektor pertanian yang dikatakan telah menunjukkan kemerosotan di negara ini.

Salahuddin bagaimanapun menjelaskan kemerosotan yang dimaksudkan itu hanya berlaku dalam penanaman padi dan sektor perikanan sahaja.

“Tidak semua, hanya kemerosotan dalam penanaman padi dan perikanan sahaja. Saya cuba merangka model baharu menggalakkan mereka dalam dua sektor yang menjadi nadi utama makanan negara rakyat.

“Bagaimanapun dalam pertanian moden, pembajaan dan buah-buahan, penglibatan anak muda kita ramai sebenarnya kecuali Padi dan Perikanan,'” ujarnya. – MalaysiaGazette