LAUSANNE – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membatalkan hasrat meningkatkan penyertaan 48 pasukan bertanding dalam Piala Dunia Qatar 2022 setelah badan bola sepak dunia itu memutuskan untuk mengekalkan 32 pasukan berikutan isu politik dan logistik negara-negara Teluk lain.

Presidennya, Gianni Infantino yang berharap penyertaan lebih banyak pasukan dalam Piala Dunia pertama di Timur Tengah itu dihalangkan oleh krisis diplomatik serantau dan permintaan badan bola sepak negara tuan rumah untuk mematuhi keperluan hak asasi manusia dan hak buruh.

Ini bermakna penyertaaan pasukan yang bertanding pada Piala Dunia tidak akan ditambah sehingga 2026, sungguhpun FIFA telah meluluskan format 48 pasukan untuk kejohanan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, lapor AP.

Mesyuarat Majlis FIFA pada Mac lalu memberi kuasa kepada Infantino untuk bekerjasama dengan Qatar bagi melihat kebolehlaksanaan penggunaan sekurang-kurangnya sebuah lagi negara di rantau itu bagi menampung 16 perlawanan tambahan dan membentangkan cadangan pada mesyuarat yang akan diadakan Jun ini.

“Berikutan proses perundingan yang menyeluruh dan komprehensif dengan semua pemegang taruh yang terlibat, adalah disimpulkan bahawa di bawah keadaan semasa seperti yang dicadangkan tidak dalam dilaksanakan sekarang.

“Berikutan persediaan yang telah dilakukan terlebih dahulu dan keperluan penilaian potensi kesan logistik yang lebih terperinci ke atas tuan rumah, lebih banyak masa yang diperlukan dan keputusan tidak boleh diambil sebelum tarikh akhir Jun ini. Oleh itu diputuskan tidak akan meneruskan pilihan ini,” menurut kenyataan FIFA.

Laporan dalaman FIFA melaporkan Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Arab Saudi tidak akan menjadi tuan rumah bersama kecuali hubungan diplomatik dan pengembaraan dengan Qatar yang diputuskan sejak dua tahun lalu dipulihkan semula.

Krisis diplomatik serantau itu menyaksikan hanya Kuwait dan Oman sebagai pilihan yang ada.

Oman berkata, negara tersebut tidak berminat untuk menjadi tuan rumah kepada acara FIFA itu. Infantino melawat Kuwait pada bulan lalu dalam usaha memujuk negara itu menganjurkan perlawanan tambahan pada 2022.

Bagaimanapun FIFA kini memutuskan kekurangan masa untuk negara yang bersedia untuk menganjurkan perlawanan tambahan itu. – Agensi