Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 23 MEI 2019

PUTRAJAYA – Satu pasukan petugas khas ditubuhkan bagi mengkaji laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang sebelum ini mengaitkan polis Cawangan Khas dengan kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo.

Menteri Dalam Negeri, Tan Muhyiddin Yassin berkata, pasukan petugas khas itu akan mengesyorkan bentuk tindakan yang perlu diambil oleh kementerian atau pihak bertanggungjawab dalam mengkaji kehilangan kedua-dua individu berkenaan.

“Nama-nama yang terlibat dalam pasukan ini akan kita tentukan dan kita telah mengenal pasti beberapa nama sesuai kerana laporan itu antara lain menyatakan polis terlibat. Jadi, pihak yang boleh membuat siasatan, yang ada kuasa polis juga.

“Oleh itu, kita mahu memastikan mereka yang menganggotai selain polis atau pihak bersesuaian akan kita namakan dan diberikan satu tempoh sesuai untuk mengemukakan keputusan hasil siasatan terhadap laporan dikeluarkan Suhakam itu,” katanya.

Sebelum ini, Suhakam mendakwa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan kedua-dua aktivis sosial berkenaan.

Kesimpulan itu dibuat hasil inkuiri awam terhadap kehilangan dua individu tersebut yang bermula Oktober 2017.

Sementara itu, Muhyiddin menegaskan, langkah penubuhan pasukan itu adalah selaras dengan tuntutan yang dipinta oleh Suhakam.

Malah katanya, pihak kementerian juga memandang serius terhadap perkara itu.

“Diharap selepas perkara ini selesai dibentangkan oleh pasukan petugas khas, kita akan dapat memutuskan bagaimana perkara itu dapat laksanakan,” ujarnya.

Ditanya bilakah anggota-anggota pasukan itu akan dinamakan, beliau berkata, pengumuman itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kita ambil masa untuk mengumumkan keputusan itu bagi mencari orang yang sesuai untuk menjadi anggotanya. Mungkin dalam enam atau tujuh orang.

“Ada nama-nama yang telah kita kenal pasti tetapi kita hendak berhubung dengan mereka supaya bersetuju.

“Selepas itu baru kita beri terma rujukan dan tempoh berapa lama pasukan ini akan laksanakan tugas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/03/suhakam-kena-ada-bukti-dakwa-polis-culik-raymond/