Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pengerusi Malaysian Football League (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akhirnya membuka mulut berhubung keputusan beliau meninggalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada tahun lalu selepas menjadi presiden badan induk persatuan itu selama 365 hari.

Titah Tunku Ismail, keputusan itu dibuat selepas ramai pihak termasuk penaja serta rakan kongsi liga menggesa beliau menjadi pengerusi badan pentadbir Liga Malaysia itu dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak negara.

Tunku Ismail mengakui, tidak mudah buatnya untuk membuat keputusan tersebut memandangkan beliau ketika itu menjadi Presiden FAM hanya dapat memberi fokus satu komitmen sahaja.

Justeru, Tunku Ismail mendedahkan beliau meninggalkan pucuk kepimpinan FAM dalam posisi terbaik sebelum menyerahkan jawatan Presiden FAM kepada Datuk Hamidin Mohd Amin selepas  membuat keputusan memilih menjadi Pengerusi MFL atas saranan pihak penaja dan rakan kongsi Liga Malaysia.

“Ramai juga yang mengatakan saya meninggalkan FAM (tanpa berbuat apa-apa). Semasa saya menjadi Presiden FAM, matlamat dan agenda saya hanya satu iaitu mencipta dan penstrukturan semula sistem supaya peranan serta tanggungjawab FAM adalah untuk menjaga pasukan kebangsaan, jawatankuasa tatatertib, jawatankuasa status disiplin dan sebagainya untuk lebih kepada formal di mana bukan fokus khusus kepada liga.

“Jika kita lihat bola sepak yang berjaya dalam negara yang berjaya dalam bola sepak, persatuan mereka ada peranan tersendiri tetapi yang menguruskan liga adalah badan bebas.

“Jadi selepas membuat perancangan untuk mewujudkan MFL, ramai yang inginkan saya berada di MFL dan saya tidak boleh memegang dua jawatan kerana saya hanya boleh beri komited kepada salah satu jawatan itu.

“Apabila kebanyakan bajet, penajaan dan kerjasama menerusi MFL, saya menganggap lebih baik saya berada di MFL dan serahkan (Presiden) FAM kepada Hamidin yang merupakan seorang cukup komited untuk membangunkan bola sepak negara,” titah TMJ dalam satu media khas di Hotel Thistle, Johor Bharu semalam.

Dalam perkembangan sama, Tunku Ismail mendedahkan beliau telah membelanjakan wang sendiri sebanyak RM12 juta dalam tahun pertama sebagai Presiden FAM, selain RM1.4 juta bagi isu saman melibatkan MP Silva terhadap FAM.

“Kalau nak bercakap mengenai sumbangan saya kepada bola sepak semasa saya menjadi Presiden FAM, saya telah selesaikan semua hutang FAM dan saya tidak tinggalkan FAM tanpa berbuat apa-apa.

“Saya tinggalkan FAM kerana ada peranan dan misi lebih besar untuk organisasi besar iaitu MFL. Jadi apa yang telah buat untuk FAM adalah kalau kita tengok daripada segi struktur saya membawa (Pengarah Teknikal FAM) Peter De Roo, struktur jurulatih dan pasukan kebangsaan termasuk hutang-hutang FAM.

“Saya telah berbelanja RM12 juta iaitu duit saya sendiri pada tahun pertama di FAM, di mana ketika itu FAM tiada duit dan dalam masa yang sama kes FAM dengan MP Silva, saya juga selesaikan satu kes di mana FAM akan disaman €1.4 juta (RM6.5 juta) dan akhirnya dapat dikurangkan kepada €300,000 (RM1.4 juta), di mana saya juga menggunakan duit saya sendiri dahulu untuk selesaikan kerana FAM tiada bajet.

“Sejurus daripada itu, saya tinggalkan FAM dalam keadaan baik dan serahkan kepada Hamidin sebelum saya mengambil alih MFL kerana itu adalah permintaan daripada semua pihak penaja dan rakan liga untuk melihat saya berada di situ di mana penaja lebih yakin terhadap saya berada di sini,” katanya.

Sementara itu, Tunku Ismail memberitahu, MFL sedang berusaha keras untuk membawa penaja dari luar negara datang melabur dalam bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, beliau mengambil pendekatan kunci mulut ketika ditanya identiti syarikat-syarikat luar negara tersebut.

“Insya Allah kita akan ada syarikat daripada luar negara dan saya tak boleh sebut nama syarikat tersebut kerana kita perlu mendapat pengesahan dahulu dan keyakinan daripada mereka untuk menaja bola sepak tanah air kita,” tambah TMJ lagi. – MalaysiaGazette