Suasana Balairung Seri dimana terletaknya Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah di Istana Abu Bakar Pekan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2019.

PEKAN – Pahang berduka. Suasana daerah ini muram di atas pemergian Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah.

Suasana di Balairung Seri Istana Abu Bakar kini diselubungi suasana hiba dengan kehadiran rakyat jelata yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.

Buat masa ini, ayat suci al-Quran dibacakan oleh kira-kira 100 pelajar tahfiz dari sekitar Kuantan dan Pekan.

MGF23052019_JENAZAH SULTAN AHMAD SHAH03
Para pelajar Tahfiz dari seluruh negeri Pahang membacakan Surah Yaasiin terhdap Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah di persada Balairung Seri Istana Abu Bakar Pekan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2019.

Kelihatan rakyat jelata yang menziarahi jenazah Almarhum turut membacakan surah Yasin.

Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan selepas solat Zohor.

Almarhum merupakan Sultan Pahang kelima memegang tampuk pemerintahan negeri selama 45 tahun menyerahkan kuasa kepada anakanda Baginda, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang juga Yang di-Pertuan Agong, pada 12 Januari lalu ekoran keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. 

Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 8.50 pagi semalam.

MGF22052019_JENAZAH SUBANG11
Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dibawa masuk kedalam Pesawat Airbus A400M untuk diterbangkan ke Pekan, Pahang di Balai Pelepasan Pangkalan Udara TUDM Subang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 22 MEI 2019.

Jenazah baginda tiba di Pangkalan Udara Kuantan pada 7.25 petang semalam dengan menaiki pesawat khas sebelum dibawa ke Istana Abu Bakar. – MalaysiaGazette