Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Bayaran fasa kedua Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dibuat pada 28 Mei ini, kata Kementerian Kewangan.

Pembayaran fasa kedua ini akan melibatkan hampir 3.6 juta penerima BSH dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.42 billion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kadar BSH yang akan diterima mengambil kira 3.23 juta anak penerima BSH berumur 18 tahun ke bawah kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka.

Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing.

Bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pembukaan akaun bank pemohon secara automatik akan dilakukan oleh
Bank Simpanan Nasional (BSN) berdasarkan persetujuan dan akuan pemohon yang terdapat pada borang permohonan BSH 2019.

Kementerian Kewangan menegaskan BSH diberi kepada mereka yang benar-benar layak mengikut kategori pendapatan yang telah ditetapkan.

Pada setiap tahun, Kementerian Kewangan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan membuat semakan permohonan BSH termasuk maklumat penerima sedia ada bagi memastikan maklumat yang dikemukakan oleh pemohon adalah tepat dan hanya yang layak sahaja akan menerima BSH.

Pelaksanaan proses verifikasi dibuat secara menyeluruh terutamanya dalam mengenal pasti pendapatan terkini
pemohon dengan membuat semakan data bersama pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), LHDNM, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan lain-lain agensi yang berkaitan.

Proses ini adalah proses biasa yang dijalankan oleh LHDNM setiap tahun, katanya.

Bagi memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 1 Julai 2019 hingga 15 Ogos 2019.

Dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada yang tidak layak masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk diverifikasi semula oleh LHDNM.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada [email protected]. – MalaysiaGazette