Zaliah Mat Saman bersama anak bongsunya, Muhammad Syamil Ahnaf Sofian yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati (Biliary Atresia) di Pangsapuri Desa Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Benarlah kata pepatah kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.

Begitu pengorbanan dan kasih sayang Mohd. Soofian Ahmad dan Zaliah Mat Saman, ibu bapa kepada Muhammad Syamil Ahnaf yang menghidap penyakit kegagalan hati berfungsi atau biliary atresia sejak lahir.

Pada saat awal kehamilan lagi, anak yang dikandung itu dijaga dan ditatang bagai minyak yang penuh sehingga sampai waktu untuk melahirkan pada 20 Februari tahun lalu.

Apatah lagi bakal bayi itu disahkan doktor sihat setiap kali melakukan pemeriksaan rutin bulanan.

Tiba waktunya, sakit dan perit saat melahirkan tidak pernah dihiraukan Zaliah dan tangisan pertama bayi itu disambut dengan penuh kesyukuran kerana anak yang lahir itu cukup sempurna sifatnya.

Tentunya zuriat lelaki yang ditunggu selama tujuh tahun menjenguk dunia itu diharapkan dapat menjadi penyambung keturunan.

Namun siapalah kita kerana manusia hanya mampu merancang, lain pula ketentuan Tuhan.

Hati ibu mana yang tidak pilu apabila anak lelaki itu tidak seperti anak orang lain malah turut mengalami jangkitan kuman pada paru-paru, jantung tidak kuat dan tulang rapuh.

Zaliah, 45, yang pada mulanya tidak sangka dan tertekan dengan pengesahan doktor itu kini reda dengan dugaan Allah SWT yang menimpa anaknya yang kini berusia setahun tiga bulan.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, Syamil Ahnaf mula dijangkiti demam kuning yang berlarutan hampir sebulan dibawa ke Hospital Teluk Intan hingga dia terpaksa habis berpantang di sana.

“Selepas usia sebulan, kulit dan mata Syamil masih berwarna kuning dan sangat berbeza sebelum kami menyambung rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hingga doktor pakar mengesahkan penyakitnya.

“Kini HKL merupakan tempat keluar dan masuk Syamil dan paling lama dia pernah mendapat rawatan hampir sebulan kerana dimasukkan ke wad ICU.

“Malah Syamil pernah menjalani pembedahan dikenali kasai untuk membuang salur hempedunya yang tidak normal,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya di Bandar Tun Razak di sini hari ini.

MGF23052019_Temubual Sofian Ahmad_12
Sofian Ahmad (kanan) dan Zaliah Mat Saman (kiri) bergambar bersama anak bongsunya, Muhammad Syamil Ahnaf Sofian yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati (Biliary Atresia) di Pangsapuri Desa Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 MEI 2019

Zaliah memberitahu gara-gara kesihatan anak bongsunya itu, dia terpaksa berhenti kerja sejak awal tahun ini selepas mengambil cuti tanpa gaji selama tujuh bulan tahun lalu.

Kata wanita itu penuh sayu, dia tidak mempunyai pilihan kerana Syamil cepat mengalami demam dan batuk serta perlu mendapat rawatan di hospital setiap bulan.

“Saya perlu berkorban untuk menjaga Syamil yang memerlukan perhatian dan penjagaan yang rapi.

“Selepas saya tiada punca pendapatan, semua kos perbelanjaan Syamil dan keluarga diuruskan oleh suami,” katanya yang turut dikurniakan dua orang puteri berusia lapan dan 11 tahun.

Sementara itu, Mohd. Soofian, 46, mengakui keluarganya berdepan kesukaran hidup kerana kos rawatan dan ubatan Syamil sahaja memcecah RM1,500 sebulan

Dia yang bekerja sebagai pengawal peribadi pula terpaksa mengambil cuti dua bulan tanpa gaji sejak awal April lalu.

Jelasnya, temujanji dan keluar serta masuk Syamil ke hospital untuk mendapat rawatan menyebabkan dia terpaksa mengambil risiko itu.

“Majikan mana pun, kalau sekali sekala ambik cuti tahunan atau cuti kecemasan boleh bertolak-ansur lagi.

“Tapi macam saya yang terpaksa bercuti tidak ikut waktu kerana kesihatan Syamil dan akhirnya saya terpaksa mengambil keputusan untuk ambil cuti tanpa gaji selama dua bulan.

“Selepas Aidilfitri ini, Syamil mempunyai temujanji di HKL lagi dan saya kena tengok dulu jadual temujanji dan rawatan untuk seterusnya sebelum kembali bekerja atau sebaliknya,” katanya berterus-terang.

MGF23052019_Temubual Sofian Ahmad_05
Zaliah Mat Saman bersama anak bongsunya, Muhammad Syamil Ahnaf Sofian yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati (Biliary Atresia) di Pangsapuri Desa Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 MEI 2019

Mohd. Soofian turut memberitahu dia sudah dimaklumkan oleh doktor bahawa kos pembedahan Syamil dianggarkan mencecah RM250,000.

Dia berkata, doktor mencadangkan anaknya itu menjalani pembedahan pemindahan hati di hospital di China yang memiliki kepakaran terbaik di sana berkaitan penyakit hati.

Jelasnya, segala pengesahan mengenai pembedahan itu akan dibuat doktor bagi melakukan pemeriksaan ke atas Syamil selepas Aidilfitri nanti.

Mengenai bantuan yang diterima, dia bersyukur kerana terdapat pertubuhan bukan kerajaan tampil memberi sumbangan keperluan barangan asas bagi mengurangkan beban hidup keluarganya.

Malah dia turut mengucap terima kasih kepada Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tuga Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut memberi bantuan peribadi baru-baru ini.

“Saya kalau tidak susah, saya tidak akan meminta bantuan orang. Bagi saya sesiapa datang tengok anak saya pun sudah besar rahmat.

“Cuma sejak dua bulan ini, banyak wang simpanan yang habis namun tiada pendapatan yang masuk.

“Pada yang pernah menyumbang, terima kasih banyak-banyak. Sumbangan pun bukan untuk saya tetapi lebih utama untuk kos rawatan Syamil yang semakin tinggi,” katanya yang telah mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM10,000 sejak Syamil dilahirkan.

Mohd. Soofian turut memberitahu dia dan isteri baru membuat permohonan kepada Baitulmal untuk memohon bantuan bagi kos rawatan Syamil.

Sementara itu, bagi mereka yang ingin memberi sumbangan kepada Syamil, boleh menghubungi talian 014- 293 8368 atau menerusi nombor akaun Maybank – 106062034558 atas nama Mohd. Soofian. – MalaysiaGazette