Pelancong dari England, Connar Cameron (kiri) dan Zoe Attfield menunjukkan 10 jenis bubur lambuk pada Program Ikhlas Bernas Bubur Lambuk Antarabangsa di Pasar Seni, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Padiberas Nasional (BERNAS) bersama Pasar Seni Kuala Lumpur hari ini membawa kelainan kepada resepi tradisi bubur lambuk apabila mengedarkan 10 jenis bubur lambuk kepada masyarakat.

Bertempat di perkarangan Pasar Seni, dianggarkan lebih 5,000 mangkuk bubur lambuk berjaya diagihkan kepada masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

MGF24052019_BERNAS BUBUR LAMBUK_05
Kakitangan bernas mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai pada Program Ikhlas Bernas Bubur Lambuk Antarabangsa di Pasar Seni, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2019

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Bernas, Norliza Mat Isa, idea untuk membuat 10 jenis bubur lambuk ini timbul bagi memberikan kelainan kepada masyarakat tentang kepelbagaian rasa dan menu bubur nasi yang terdapat di luar negara.

“Hari ini Bernas mengajikan 10 jenis bubur lambuk dalam program Bubur Lambuk Antarabangsa sempena dengan Program Ikhlas Bernas yang mana salah satu tanggungjawab sosial korporat kami.

“Kami memilih bulan Ramadan untuk melakukan salah satu program di tengah bandaraya dan kebiasaannya kami berada berhampiran dengan jelapang padi,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

MGF24052019_BERNAS BUBUR LAMBUK_09
Ketua Komunikasi Korporat Bernas, Norliza Mat Isa bercakap kepada media pada Program Ikhlas Bernas Bubur Lambuk Antarabangsa di Pasar Seni, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2019

Tambah Norliza, resepi itu datangnya daripada 10 negara-negara luar antaranya Singapura, Thailand, Kemboja, Vietnam, Jepun, China, Korea, Indonesia, India termasuk bubur tradisional Malaysia, bubur lambuk.

“Kami mengambil resipi mereka dan diadaptasi kepada bubur lambuk Malaysia. Resipinya rata-rata adalah bubur nasi.

“Macam Korea Selatan bubur nasinya nama Dak Ju yang biasanya dimakan oleh orang yang sakit. Kita olah sedikit dan letak telur masin dalam tu,” katanya lagi.

Program julung kali diadakan yang dinamakan ‘Bubur Lambuk Antarabangsa’ ini adalah bersempena dengan Program Ikhlas Bernas yang mana salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bernas.

Bagi dua beradik, Jennie See Hoi, 40 dan Lee See Hoi, mereka sememangnya menggemari bubur dan teruja untuk mencuba pelbagai menu bubur daripada 10 negara yang dibawa oleh Bernas.

MGF24052019_BERNAS BUBUR LAMBUK_14
Temubual bersama pengunjung, Jennie See pada Program Ikhlas Bernas Bubur Lambuk Antarabangsa di Pasar Seni, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2019

“Ini kali pertama saya cuba. Saya teruja nak rasa. Selalu makan bubur tapi tidak perasa banyak macam ni,” kata Jennie See Hoi.

“Saya akan cuba semua perisa ini. Saya teruja nak cuba sebab selalu makan bubur lambuk.

“Nampak semua sedap, saya amat suka bubur. Selalu saya masak bubur beras merah, beras putih dan bubur beras perang,” tambah Lee See Hoi.

Bagi pelancong daripada Filipina, Kelvin, ini kali pertama beliau mencuba bubur lambuk daripada Malaysia.

“Saya pilih menu bubur dari negara Korea, Jepun. Amat teruja untuk mencuba bubur dari negara-negara ini, ini kali pertama saya makan makanan ini.

“Di negara saya tidak ada semua ini, saya harus cuba,” katanya.

Seorang pemandu teksi, Abdul Rahman Mat Isa, 40 berkata beliau tidak sabar untuk mencuba bubur daripada Korea Selatan yang diberi nama Dak Ju.

MGF24052019_BERNAS BUBUR LAMBUK_23
Ketua Komunikasi Korporat Bernas, Norliza Mat Isa (kanan) berbual ketika mengedarkan bubur lambuk kepada pelancong pada Program Ikhlas Bernas Bubur Lambuk Antarabangsa di Pasar Seni, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2019

Baginya, ini kali pertama beliau mendengar resepi bubur nasi daripada negara itu dan sempat mengambil 4 bekas untuk keluarganya.

“Ini beri rasa baru kepada bubur lambuk kita. Jadi kita boleh mencuba menu-menu bubur daripada negara-negara lain.

“Saya rasa Korea, sebab selalu rasa menu Malaysia sahaja. Jadi keinginan nak cuba itu tinggi,” katanya gembira.

Antaranya termasuklah, Beras Putih Tempatan, Beras Perang, Beras Hitam, Beras Merah, Beras Basmati, Beras Wangi, Beras Pulut dan juga Beras Calrose. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here