KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini memohon ampun kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan mengutuskan surat ke Istana Bukit Serene.

Kerajaan Negeri Kedah dalam satu kenyataan menyebut Mukhriz terkhilaf kerana tidak bersalaman dengan baginda di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang semalam.

“Menteri Besar telah menyembah maklum kepada baginda bahawa kekhilafan tersebut adalah kerana kealpaan Datuk Seri sendiri dan tidak mengambarkan sifat sopan santun rakyat Negeri Kedah,” demikian menurut Setiausaha Akhbar kepada Mukhriz.

Semalam, tular sebuah video memperlihatkan anak kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat tidak bersalaman dengan Sultan Johor di Istana Abu Bakar.

Video yang berdurasi 14 saat itu memperlihatkan Mukhriz hanya mengangkat tangan ketika berjalan di hadapan Sultan Johor dan anakandanya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail tetapi tidak bersalaman.

Tetapi, Mukhriz dilihat bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas itu.

Kejadian itu berlaku kehadirannya di Istiadat Pemakaman Sultan Pahang kelima, Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah, di Pekan semalam.

Tindakan Mukhriz tersebut dikecam oleh orang ramai, selain banyak pihak mendesak Menteri Besar Kedah itu memohon maaf kepada Sultan Johor.  -MalaysiaGazette