PKR akan memberi fokus kepada kawasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai selain menumpukan kempen mereka kepada pengundi wanita dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Pelantikan Latheefa Koya menimbulkan polemik dan paling banyak diperkatakan oleh beberapa pemimpin PKR sehingga mewujudkan satu petisyen mendesak Latheefa meletakkan jawatan.

KUALA LUMPUR – Sebuah gabungan hak-hak wanita menggesa Parti Keadilan Rakyat (PKR) melantik sebuah panel siasatan bebas bagi meneliti dakwaan gangguan seksual dilakukan oleh Anggota Parlimen Sungai Siput, S, Kesavan terhadap bekas pembantunya.

Kumpulan Tindakan Bersama Untuk Kesaksamaan Gender (JAG) berkata panel itu perlu memiliki kepakaran dalam gangguan seksual dan pelbagai gender bagi melakukan siasatan dalaman terhadap anggota Parlimen dari parti itu.

“Parti politik tidak boleh bertolak ansur dengan gangguan seksual. Kami berhak untuk mendapatkan wakil rakyat yang menghormati kaum wanita,” kata JAG yang diwakili oleh 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita, dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Selain polis menyiasat kes tersebut, JAG berkata panel berkenaan perlu menyemak semula dasar-dasar dan respons PKR terhadap gangguan seksual secara amnya.

”Ketika polis menyiasat laporan itu, undang-undang jenayah sedia ada tidak mencukupi untuk gangguan seksual dan ini mungkin tidak dapat menyelesaikan kes ini.

“Walaupun kes ini menonjolkan perlunya Rang Undang-Undang Gangguan Seksual digubal namun PKR tidak perlu menunggu untuk undang-undang baharu untuk menyelesaikan isu seperti ini malah perlu berpegang kepada piawaian dalaman yang tinggi,” menurut kenyataan itu.

Gabungan itu turut meminta agar semua parti politik mengadakan dasar masing-masing untuk mencegah dan bertindak terhadap isu gangguan seksual.

Minggu lepas, seorang wanita yang mendakwa bekas pembantu dan bekas bendahari PKR cabang Sungai Siput membuat laporan polis di Selangor berhubung gangguan seksual terhadapnya oleh Kesavan sejak akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, ahli Parlimen penggal pertama itu menafikan dakwaan tersebut dan membuat laporan polis terhadap wanita itu.

— BERNAMA