KUALA LUMPUR – Kecemerlangan pelajar Malaysia, Maryam Balqis Abdul Rashid, 23, yang memperoleh keputusan CGPA 4.0 di Arizona State Universiti (ASU), Arizona, Amerika Syarikat dalam bidang ‘Sustainability’ (Kelestarian), benar-benar membanggakan negara.

Maryam Balqis yang merupakan salah seorang pelajar penerima biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang berjaya mengekalkan keputusan cemerlang di sepanjang pengajian beliau itu, menurut e-Warta Mara, satu platform bagi menyampaikan maklumat berkaitan MARA.

Mengikut sumber maklumat daripada Pejabat MARA Washington, selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya itu kemudiannya melanjutkan pengajian asasi dalam program Asas Ijazah Amerika di Kolej INTEC, Shah Alam.

“Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang Kelestarian di ASU yang merupakan kursus pertama ditawarkan di universiti berkenaan,” kata portal itu lagi.

Maryam juga aktif dalam kegiatan kokurikulum, malah telah memenangi beberapa anugerah atas pencapaian beliau di ASU.

Antara anugerah yang diperolehi oleh Maryam Balqis termasuklah ‘Community Assistant of the Year’, ‘Outstanding Graduate Award Spring 2019’ oleh Fakulti Kelestarian dan Persatuan Alumni ASU, ‘Anugerah Kecemerlangan Akademik sempena Perdana Scholar Awards 2018’, dan “Frasier Global Mentorship program”.

Selain itu, Mariam banyak menjalankan kajian melestarikan alam seperti kajian kelestarian global dalam aspek pelancongan dan perikanan di Lombok, Indonesia.

“Kajian beliau yang lain ialah mengkaji kaedah pihak Los Angeles dalam menangani isu perubahan iklim serta membuat garis panduan atau “toolkit” untuk kerajaan Mexico menangani isu transformasi, adaptasi, kemantapan dan kelestarian,” katanya.

Pihak MARA Washington turut memberitahu Maryam Balqis akan melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah sarjana dalam kursus ‘Penyelesaian Kelestarian’ pada bulan Ogos 2019.- BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here