Husain Awang
Husain Awang

KUALA LUMPUR – Kuota kemasukan ke matrikulasi bukan isu besar jika semua pihak terutama DAP memahami dan menghormati suatu elemen penting dalam pembentukan negara, iaitu kontrak sosial,

Ahli Dewan Negara, Senator Husain Awang berkata, sejak dari awal, kontrak sosial tidak hanya dipersetujui hanya melalui sebelah pihak iaitu Melayu sahaja, sebaliknya melibatkan pemimpin dari bangsa lain juga.

Katanya, polemik yang berlaku dalam negara sejak era Malaysia baharu menggambarkan terkikisnya semangat ketatanegaraan yang telah lama menjadi pegangan rakyat negara ini.

“Contohnya, kuota matrikulasi yang sedang diperdebatkan bukanlah isu pertama yang memperlihatkan terkikisnya pemahaman terhadap perkara ini, bahkan ia bermula sejak pertikaian isu ratifikasi ICERD, pengiktirafan UEC dan sebagainya.

“Justeru, adakah sesetengah daripada mereka benar-benar tidak faham atau sengaja bersembunyi di sebalik fakta sejarah?” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Tambah Husain, menghubungkan dua aspek iaitu kuota matrikulasi dengan “Mandarin requirement” dalam sektor pekerjaan bukan sesuatu yang ironi.

Ini kerana, kedua-duanya menampakkan perbezaan dan ketidakseimbangan yang jelas.

“Malangnya, pihak yang mendedahkan ketidakseimbangan yang berlaku pula dituduh bermain sentimen perkauman. Sewajarnya perkara tersebut perlu diteliti demi kebaikan bersama,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan sistem pendidikan negara yang masih tidak berpadu pada satu tiang sama, sesetengah pihak masih menegakkan sesuatu yang tiada asas untuk diketengahkan.

Walaupun bersetuju supaya sistem kemasukan ke institut pengajian tinggi awam melibatkan program matrikulasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ditambah baik dari sudut kualiti dan kuantiti, namun desakan kepada perubahan kuota matrikulasi tersebut jelas membelakangi semangat ketatanegaraan yang dimaksudkan.

Bagaimanapun, menurut Husain, menyokong pengekalan kuota ini tidak pula bererti seseorang itu rasis serta bersifat tidak adil kepada pihak lain.

Ini kerana, dasar pendidikan kepada semua tidak wajar dipinggirkan pihak kerajaan.

“Itu semua hanya sentimen palsu yang dimainkan oleh sesetengah pihak seperti DAP sehingga menimbulkan keadaan tidak senang dalam kalangan rakyat.

“Semua kemelut yang tidak perlu ini lahir daripada kepelbagaian aliran utama dalam sistem pendidikan negara sehingga menghalang kepada pemahaman terhadap konsep ketatanegaraan, apatah lagi mencapai nilai kesepaduan dalam negara yang berbilang bangsa.

“Semua yakin pendidikan adalah nadi penyatuan negara bangsa, namun usah sesekali lupa neraca pendidikan yang dimaksudkan adalah dirujuk kepada bahasa kebangsaan, budaya serta nilai sejarah yang sentiasa dipelihara,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here