Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar US hari ini seiring dengan harga minyak mentah yang menggalakkan, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.1870/1900 berbanding dolar US daripada 4.1910/1940 sewaktu ditutup pada Khamis.

Naib Presiden (Pelaburan) Phillip Capital Management Asia-Pasifik, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China juga terus memberi kesan terhadap ringgit.

“Sejak dua bulan lepas, ringgit rendah berbanding dolar US yang membawa kepada paras penyusutan baharu RM4.19 sejak 28 Nov, 2018.

“Langkah terbaharu AS untuk menyenaraihitam syarikat gergasi telekomunikasi China, Huawei turut membuktikan tidak mungkin kedua-dua negara kuasa ekonomi utama dunia akan berdamai dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Brent yang juga penanda aras minyak mentah dunia, meningkat 1.32 peratus kepada US$67.38 setong.

Selain itu, ringgit didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0404/0431 daripada 3.0326/0352 pada Khamis dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.8178/8216 daripada 3.8076/8113.

Unit tempatan itu juga lemah berbanding pound Britain kepada 5.3158/3213 daripada 5.2949/2995 dan susut berbanding euro kepada 4.6844/6894 daripada 4.6663/6700. – MalaysiaGazette