masjid
Gambar hiasan

IPOH – Ahli jawatankuasa masjid dan surau di Perak boleh digantung dan disiasat sekiranya program politik diadakan di premis masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, barang siapa yang membenarkan program sedemikian diadakan di premis masing-masing juga boleh dipindahkan.

Tambahnya, sudah jelas bahawa masjid dan surau tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang program yang melibatkan logo, bendera mahupun kain rentang bermotifkan politik.

“Terdapat peraturan yang jelas malah sekiranya seseorang itu mahu mengadakan ceramah, beliau memerlukan permit.

“Tiada isu sekiranya mana-mana (parti) politik mahu memberikan sumbangan kepada fakir miskin tetapi mereka tidak dibenarkan untuk menggantung kain rentang atau bendera yang mempunyai logo parti,” katanya.

Asmuni yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara Perak ditanya mengenai pertemuannya dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin di Istana Iskandariah dekat Kuala Kangsar, petang semalam.

Terdapat laporan yang mengatakan Sultan Nazrin menitahkan ketua-ketua daripada enam parti politik menghadap baginda berhubung penggunaan masjid dan surau untuk aktiviti politik.

Selain Asmuni, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Pengerusi PKR Negeri, Farhash Wafa Salvador Mubarak, Penasihat DAP Negeri, Ngeh Koo Ham dan Ketua Perhubungan UMNO Negeri, Saarani Mohamad serta Pesuruhjaya Pas Negeri, Razman Zakaria turut dipanggil menghadap Sultan Nazrin.

Menurut Asmuni, baginda melahirkan rasa bimbangnya terhadap isu tersebut kepada ketua-ketua parti politik yang hadir.

“Baginda mahu melihat masjid-masjid bebas daripada politik.

“Masjid sepatutnya dijadikan pusat ilmu, agama dan perpaduan.

“Kami tidak menghalang mana-mana pihak untuk menggunakan masjid atau surau untuk berbuka puasa mahupun berceramah tetapi program-program tersebut mesti tidak melibatkan penggunaan logo parti politik,” katanya.- MalaysiaGazette