BERLIN – Bayern Munich melakar kejuaraan berganda apabila menundukkan RB Leipzig 3-0 dalam perlawanan akhir Piala Jerman yang berlangsung awal pagi tadi.

Dua daripada gol pasukan itu disumbangkan Robert Lewandowski yang juga penjaring terbanyak Bundesliga.

Beliau menanduk masuk bola untuk gol pembukaan minit ke-29 sebelum Kingsley Coman menambah gol kedua pada minit ke-78.

Lewandowski sekali lagi menyumbat gol pada minit ke-85.

Ia merupakan kemenangan itu kali ke-12 buat Bayern memenangi gelaran berganda.

Bayern juga perlu berterima kasih kepada ketangkasan penjaga gol, Manuel Neuer yang kembali beraksi dengan menyelamatkan deretan cubaan pemain lawan biarpun baru pulih daripada kecederaan.

Leipzig dalam pada itu memulakan babak pertama dengan baik apabila tandukan Yussuf Poulsen terkena palang selepas diselamatkan Neuer sebelum Lewandowski menemui sasaran.

Coman nyaris menyumbat gol kedua selepas itu namun Ibrahima Konate pantas menyelamatkan situasai bahaya di depan gol.

Pada saingan yang penuh aksi memukau itu, Neuer menjadi watak utama ketika menafikan cubaan Emil Forsberg.

Pasukan Bavaria bangkit apabila Coman mencipta dua gerakan menarik sebelum peledak Poland itu sekali lagi membocorkan gawang lawan untuk memastikan gelaran dalam genggaman.

Pemain sayap Bayern, Franck Ribery, yang akan meninggalkan pasukan itu bersama Arjen Robben musim panas ini, muncul sebagai pemain gantian dan memegang rekod lapan kali penampilan di final Piala Jerman. – MalaysiaGazette