Allahyarham Siti Kharina Mohd Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warganegara Nigeria dan lelaki Pakistan masing-masing berusia 35 dan 38 tahun yang dikaitkan dengan kes bunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd. Kamarudin akan dibebaskan dengan bon mahkamah esok.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, kedua-dua suspek akan dibebaskan di Mahkamah Sepang.

“Seorang suspek lelaki warganegara Nigeria, 36 tahun akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sepang pada 27/5/19, jam 8:30 pagi esok,” katanya dalam satu kenyataan.

Khamis lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pihaknya sudah menyelesaikan siasatan kes pembunuhan Siti Kharina.

Malah kes itu akan dirujuk kepada pendakwa raya untuk memulakan pendakwaan terhadap seorang daripada tiga individu yang ditahan.

Juga pada Khamis, Mahkamah Majistret Sepang memerintahkan tempoh tahanan reman seorang lelaki warga Nigeria disambung 7 hari hingga 30 Mei bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Kharina.

Sebelum ini, warga Nigeria berusia 36 tahun itu direman seminggu bermula 17 Mei. -MalaysiaGazette