Mokhtar Samad

KUALA LUMPUR – Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) merayu kepada Wakil Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin supaya mengadakan peruntukan untuk kontraktor Bumiputera agar mereka dapat bersaing pelaksanaan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengerusi Kehormat (PKBM), Datuk Mokhtar Samad berkata, langkah itu perlu kerana kontraktor Bumiputera akan bersaing dengan kontraktor-kontraktor tempatan lain yang lebih besar.

“Kita telahpun berjumpa dengan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) ECRL. Dalam keadaan ini ahli-ahli persatuan meminta Tun Daim mengkaji semula perkara ini

“Dia mesti adakan peruntukan untuk kontraktor Bumiputera supaya bersaing dengan kontraktor lain sebab dia kata 40 peratus kontraktor tempatan.

“Yang menjadi masalah bila bersaing dengan sama-sama Bumiputera. Justeru itu, kita tak boleh bersaing dengan kontraktor besar.

“Saya seru kepada pihak kerajaan menimbang semula perkara ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jalinan Kasih Ramadan di sini hari ini.

Sebelum ini, Daim mengumumkan projek ECRL yang telah dirunding semula menawarkan banyak peluang kepada kontraktor tempatan termasuk Bumiputera terutama dalam kerja-kerja awam seperti pembekalan dan aspek teknikal.

Katanya, rundingan semula projek itu bersama kerajaan China pada 12 April lalu telah membuka peluang untuk direbut kontraktor tempatan kerana terlalu banyak pakej menarik yang ditawarkan dalam projek yang akan mengubah landskap ekonomi negara dan menjadi kerugian jika ia dilepaskan begitu sahaja.

Projek ECRL yang dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional digantung pelaksanaanya tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan kos yang tinggi.

Pada 12 April, MRL dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) yang membolehkan projek ECRL yang ditangguhkan itu disambung semula.

Di bawah perjanjian baharu, kos pembinaan bagi Fasa 1 dan 2 ECRL akan disambung semula pada harga RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada unjuran asal sebanyak RM65.5 bilion.

Ia akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer.

Pada 15 April, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus susulan pemeteraian SA itu. – MalaysiaGazette