Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud.

KUALA LUMPUR – Lebih 300 orang warga Pakistan yang menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan Imigresen di Malaysia akan dihantar pulang ke negara mereka bermula 29 Mei ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua mereka yang kini ditempatkan di depot tahanan imigresen akan dihantar pulang melalui penerbangan sewa khas oleh kerajaan Pakistan.

Katanya, langkah penghantaran pulang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Pakistan.

“Program ini merupakan inisiatif kerajaan Pakistan sendiri yang mahu mempercepatkan proses penghantaran pulang warga negara mereka khususnya tahanan-tahanan yang tidak mampu membeli tiket sendiri.

“Kerajaan Pakistan akan menanggung semua kos penerbangan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, bahagian depot dan Tahanan Imigresen akan menyelia semua proses penghantaran pulang dan pergerakan semua tahanan dari depot ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tambah beliau, JIM dan Suruhanjaya Tinggi Pakistan akan sentiasa bekerjasama dan menambah baik kelancaran urusan yang melibatkan warga kedua-dua negara yang berkaitan hal ehwal imigresen. – MalaysiaGazette