Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen) Datuk Liew Vui Keong hari ini menafikan dakwaan yang beliau telah masuk campur dalam keputusan Mahkamah Rayuan Singapura menangguhkan pelaksanaan hukuman gantung terhadap seorang rakyat Malaysia, P. Pannir Selvam.

Liew, dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan, yang beliau telah bercakap dengan Menteri Kanan Singapura di Kementerian Undang-Undang Rabu lepas mengenai kes Pannir, selepas tidak dapat bercakap dengan Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang K. Shanmugam, yang tidak ada pada masa tersebut.

Katanya, beliau juga telah memohon kebenaran Menteri Luar untuk berkomunikasi dengan kerajaan Singapura dan telah meghantarkan satu e-mel kepada mereka, di mana beliau telah membuat satu penyataan berdasarkan kepada asas undang-undang yang sah.

“Pertuduhan mengatakan saya telah masuk campur terhadap sistem perundangan mereka adalah tidak berasas. Ia hanyalah satu imaginasi pihak tertentu,” katanya.

Liew berkata, beliau mengeluarkan kenyataan itu bagi membetulkan pandangan pihak tertentu untuk mengelakkan berlakunya kecelaruan yang berterusan dan sindiran yang tidak perlu, kerana terdapatnya satu tuduhan yang serius dibuat terhadapnya, oleh pihak tertentu dari seberang tambak.

Jelas beliau, Pannir telah memohon untuk mendapatkan semakan atas penghakiman terhadapnya Rabu lepas, dengan mempertikaikan penolakan pihak pendakwaan yang tidak mengambil kira dakwaan yang beliau telah membantu polis Singapura sewaktu penyiasatan kes pengedaran dadah di negara itu.

Warga Malaysia berusia 32 tahun itu juga telah mengemukakan satu cabaran ke atas penolakan pengampunan daripada Presiden Singapura yang menurut Pannir, hanya diserahkan kepadanya pada 17 Mei 2019, iaitu pada hari yang sama kakaknya dimaklumkan mengenai pelaksanaan hukuman gantung terhadapnya.

“Perbicaraan rayuan itu telah ditetapkan pada Khamis jam 2.30 petang di hadapan Mahkamah Rayuan Singapura yang mana, selepas mendengar hujahan daripada peguam Pannir, atas asas pro bono, cuma satu jam sebelum perbicaraan, membenarkan penangguhan hukuman mati tersebut dan pelaksanaan hukuman mati yang telah ditetapkan pada Jumaat, kemudiannya dibatalkan segera,” katanya.

Liew berkata walaupun beliau tidak berpeluang membaca asas kepada keputusan tersebut, tetapi dengan jelas terlihat bahawa Mahkamah Singapura telah membuat keputusan itu dengan mengambil kira situasi yang berlaku pada masa itu dan kedaulatan undang-undang yang terpakai untuk kes tersebut.

“Justeru, adalah sama sekali tidak boleh dipertahankan untuk mendakwa bahawa ada campur tangan daripada saya terhadap proses kehakiman berkenaan,” katanya.

“Saya dan semua di Malaysia, menghormati keputusan mahkamah Singapura,” kata Liew.

Pannir, yang didapati bersalah mengedar dadah, pada asalnya dijadualkan untuk menjalani hukuman gantung, Jumaat lepas, sebelum Mahkamah Rayuan Singapura pada Khamis lepas membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi membolehkan beliau mencabar proses pengampunan.

Pannir didapati bersalah pada 27 Jun 2017 oleh Mahkamah Tinggi Singapura kerana mengedar 51.84 gram diamorphine di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 3 Sept 2014.

— BERNAMA