Dr. Sahruddin Jamal

JOHOR BAHRU – Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mohd Solihan Badri mengakui ada berbincang dengan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, berhubung jawatan Setiausaha parti yang disandang Dr Sahruddin sebelum ini.

Mohd Solihan yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ledang berkata pada masa sama, beliau turut menyampaikan pandangan anggota parti mengenai ketidaksuaian jawatan Setiausaha untuk terus disandang Menteri Besar.

“Ya, saya ada berbincang dengan Dr Sahruddin melalui aplikasi WhatsApp, dan saya berpandangan beliau mungkin tidak sesuai untuk jawatan berkenaan.

“Saya cuma menyampaikan pandangan kepada Dr Sahruddin mengenai cadangan itu, tetapi YB (Dr Sahruddin) sendiri juga merasakan jawatan itu tidak sesuai dan beliau sendiri menolak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Jalan Raya bersempena Aidilfitri peringkat negeri Johor 2019, di sini hari ini.

Mohd Solihan bagaimanapun tidak mendedahkan mengapa jawatan berkenaan tidak sesuai untuk disandang Dr Sahruddin.

Semalam, Pengerusi Bersatu Johor yang baharu, Mazlan Bujang mengumumkan melantik Mohd Solihan sebagai Setiausaha Bersatu Johor menggantikan Dr Sahruddin.

Menurut Mazlan, beliau ada menawarkan kepada Dr Sahruddin supaya kekal menyandang jawatan Setiausaha Bersatu Johor, namun beliau dimaklumkan menerusi Mohd Solihan bahawa Dr Sahruddin sendiri menolak jawatan berkenaan, demi menumpukan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Mohd Solihan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, dalam pada itu berkata beliau tidak berhadapan masalah menggalas dua tanggungjawab sebagai Exco Kerajaan Johor dan Setiausaha parti, selain menegaskan hubungannya dengan Dr Sahruddin amat baik.

“Saya berhasrat menjadi orang tengah yang bekerja sebagai setiausaha yang profesional.

“Apa pun barisan kepimpinan lama atau baru, kita mestilah kukuhkan, dan kita kena pastikan perjalanan parti bukan sahaja di peringkat negeri, bahkan di peringkat bahagian dan cawangan mengikut peraturan dan berjalan dengan licin,” katanya.

— BERNAMA