Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan dilihat tidak bersedia menangani risiko kejatuhan harga minyak ke paras yang lebih rendah meskipun sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara, mereka telah meningkatkan kebergantungan hasil kerajaan kepada hasil petroleum apabila menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ini menyebabkan peningkatan aliran keluar dana asing dari Malaysia berikutan kebimbangan para pelabur terhadap risiko tersebut.

Jelasnya, ekonomi dan mata wang negara menerima kesan besar daripada perubahan harga minyak dunia.

Pada 2015 dan 2016, harga minyak dunia telah jatuh 80 peratus sehingga berada di bawah paras AS$30 setong dan menyebabkan ekonomi dan mata wang negara tumbuh lebih perlahan.

“Tapi apa yang membimbangkan ialah keadaan sekarang di mana harga minyak dunia masih tinggi tapi ringgit tetap menurun.

“Harga minyak dunia sudah naik 35 peratus sejak permulaan tahun, ekonomi dan matawang kita terus jatuh pulak.

“Sejarah dicipta lagi oleh kerajaan PH.

“Apabila harga minyak dunia di sekitar AS$70 satu tong pada tahun awal 2015, nilai ringgit ialah RM3.40 berbanding AS$1.

“Sekarang, harga minyak dunia juga di sekitar AS$70 satu tong tapi ringgit sudah jatuh ke RM4.20,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Tambah Najib, jika harga minyak dunia sekali lagi jatuh ke bawah AS$30 setong, kesannya akan jauh lebih parah berbanding tahun 2015.

“Itulah juga kebimbangan ramai pelabur-pelabur asing sehingga Malaysia menjadi pasaran saham paling corot dalam dunia.

“Pelabur-pelabur asing tahu risiko ini wujud.

“Mereka tahu jika perang dagang berterusan, pengeluaran minyak Amerika Syarikat dan gas asli Australia masih meningkat atau Amerika Syarikat tiba-tiba hentikan sekatan terhadap Iran, risiko ini wujud.

“Mereka tidak mahu terperangkap pada ketika kerajaan kita langsung tak bersedia,” katanya.- MalaysiaGazette