Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan agar pengerusi jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk program parti politik, digantung tugas, sementara siasatan ke atas mereka dijalankan.

Menurut kenyataan media oleh Pejabat Sultan Perak hari ini, Dato’ Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Abd Rahim Mohamad Nor, berkata, cadangan penggantungan tugas itu dibuat Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Mohd Yusof Husin.

Katanya, sementara penggantungan tugas itu, Sultan Nazrin menitahkan agar tanggungjawab pengerusi jawatankuasa masjid dan surau diserahkan kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah, selaras dengan Peraturan 10(2), Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kariah Negeri Perak 2015.

“Baginda menitahkan Pengarah JAIPk melakukan siasatan lengkap untuk dipersembahkan kepada baginda mengenai program yang dianjurkan atas nama parti politik dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah tidak bertauliah,” katanya.

Beliau berkata ceramah berkenaan berlangsung di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei, dan di Surau Al-Ittihad Kampung Temiang di sini pada 24 Mei serta program atas nama parti politik di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor pada 22 Mei.

Menurut Abd Rahim, Sultan Nazrin bertitah demikian semasa menitah menghadap Ketua Polis Perak Razaruddin Hussain @ Abd Rasid; Pengarah JAIPk; Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang kini dipangku oleh Mohd Haidi Sulaiman petang semalam.

Selain itu, Sultan Nazrin turut menitahkan pemimpin enam parti politik utama di Perak menghadap baginda iaitu Pengerusi Bersatu negeri, Ahmad Faizal Azumu; Penasihat DAP negeri, Ngeh Koo Ham; Pengerusi Amanah negeri, Asmuni Awi; Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Saarani Mohamad; Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria dan Pengerusi PKR negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, petang semalam.

Abd Rahim berkata ,Sultan Nazrin menerima banyak aduan mengenai program yang dianjurkan atas nama parti politik dilangsungkan dalam bangunan dan perkarangan masjid atau surau di negeri Perak.

“Baginda disembah maklum, terdapat pemimpin daripada parti politik berceramah agama tanpa mendapat tauliah daripada MAIPk atas nama parti politik, dilangsungkan dalam masjid dan surau tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa agama Islam negeri.

“Setelah dipersembahkan taklimat, baginda berpuas hati terdapat asas kebenaran aduan yang diterima daripada ramai ahli kariah mengenai parti politik di Perak menganjurkan aktiviti dalam bangunan dan kawasan masjid dan surau, juga pemimpin parti politik berceramah agama tanpa tauliah,” katanya.

Abd Rahim berkata, dalam sesi menghadap tersebut Sultan Nazrin menegaskan pendirian baginda selaku Ketua Agama Islam negeri untuk tidak membenarkan sebarang program dianjurkan atas nama parti politik dalam bangunan dan kawasan masjid atau surau.

Sultan Nazrin juga, kata Abd Rahim, merumuskan bahawa persaingan aktiviti yang semakin rancak oleh parti politik sama ada pemerintah atau pembangkang di masjid dan surau merupakan perkembangan sangat tidak sihat yang berpotensi menjejaskan kesucian rumah ibadat itu.

“Baginda bertitah parti-parti ini menggunakan pelbagai alasan, seperti khidmat masyarakat, program kebajikan, majlis ilmu, khatam al-Quran, bantuan, tetapi pada masa yang sama mempamerkan lambang parti politik masing-masing dalam bangunan dan kawasan masjid dan surau,” katanya.

Katanya, baginda juga bertitah agar parti politik tidak menjemput penceramah tanpa tauliah daripada MAIPk dan jika program ceramah mahu dianjurkan dalam masjid atau surau ia perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa agama Islam negeri.

Baginda, katanya ,menzahirkan kebimbangan kariah masjid akan memiliki identiti dan asosiasi dengan parti politik tertentu jika program atas nama parti politik dibenarkan di rumah ibadat tersebut yang sewajarnya berperanan menyatukan ummah.

Selain itu, katanya, Sultan Nazrin menitahkan pemimpin politik di Perak agar memberikan komitmen dan mengambil tanggungjawab untuk memulihara kesucian rumah ibadah umat Islam daripada dicemari dengan kegiatan politik berpuak dan kepartian. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here