Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima sumbangan pada Majlis Sumbangan Sempena Ramadan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dataran KAMARA, Kampung Malaysia Raya, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 26 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Langkah Kementerian Pengangkutan mengenakan syarat yang ketat terhadap penyedia perkhidmatan e-hailing pada masa ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tegas dalam menguatkuasakan undang-undang.

Malah, perkara itu dibuat agar tidak ada pihak yang melihat bahawa kerajaan cuba untuk memberikan kelebihan kepada penyedia perkhidmatan e-hailing ini berbanding pengusaha teksi, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Menurut beliau, syarat ketat yang dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan e-hailing itu juga dibuat atas pertimbangan kerajaan bagi mempastikan kebajikan pemandu tidak terjejas serta tidak terabai.

“Tetapi kita sudah tentulah tidak dapat menafikan bahawa oleh kerana adanya Grab akan ada pertambahan jumlah perkhidmatan pemandu e-hailing.

“Ia menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat dan mudah untuk mereka menggunakan perkhidmatan kereta mobil yang berbayar ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jalinan Kasih Ramadan di sini hari ini.

Datuk Kamaruddin Jaffar.
Datuk Kamaruddin Jaffar.

Beliau diminta mengulas mengenai langkah beberapa persatuan teksi yang sejak kebelakangan ini sering melakukan protes ekoran tidak berpuas hati dengan sikap kerajaan yang didakwa menjadikan penyedia perkhidmatan berkenaan sebagai ‘anak emas’.

Situasi yang berlaku itu menyebabkan ada segelintir pengusaha teksi yang terpaksa gulung tikar akibat tidak mendapat permintaan daripada orang ramai.

Dalam pada itu Kamaruddin berkata, kerajaan akan melihat secara menyeluruh terhadap apa juga keputusan dan jika ada sesuatu perkara yang dianggap tidak begitu menguntungkan kepada pengusaha teksi, satu penyelesaian terperinci akan dilakukan.

Langkah berkenaan sama seperti bantuan yang diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada pemandu-pemandu teksi apabila ia sedikitpun tidak kurang daripada apa yang pernah diterima oleh kerajaan terdahulu.

Pada majlis itu, seramai 400 orang yang terdiri daripada penduduk di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan duit raya.

Duit raya itu disumbangkan oleh Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM). – MalaysiaGazette