KUALA LUMPUR- Pengasas bersama Fashion Valet, Datin Vivy Sofinas Yusof atau lebih dikenali sebagai Vivy Yusof dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Perkara itu diumumkan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Dr. Mohd Azraai Kassim di akaun Twitternya hari ini.

Vivy yang merupakan graduan undang-undang daripada London School of Economics mula dikenali apabila aktif menulis blog ketika masih berada di London.

Pemilik jenama tudung dan aksesori Duck ini memulakan perniagaan atas talian bersama suaminya selepas pulang ke tanahair kerana merindui kesenangan membeli-belah secara atas talian.

Beliau pernah merangkul pelbagai anugerah keusahawanan dalam dan luar negara termasuk Anugerah Usahawan Muda di Anugerah Asean @50 dua tahun lalu.-MalaysiaGazette