Pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri menyerahkan tudung ekslusif dihiasi kristal Swarovski yang bernilai RM50,000 kepada Pemilik ByQiss by Bawal Exclusive, Datin Hamizan Putih (kiri) untuk diberikan kepada pembeli pada sidang media sempena penyerahan tudung Bawal Ekslusif tersebut di St. Regis Hotel, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan Pahang berkemungkinan menjadi orang pertama di dunia memakai tudung bawal eksklusif yang ditempah dengan harga RM50,000 sehelai.

Ahli perniagaan berusia 35 tahun itu menempah tudung bertatahkan kristal Swarovski dari sebuah butik ByQiss by Bawal Exclusive yang terletak di Kuantan.

MGF27052019_TUDUNG BAWAL SWAROVSKI06
Rekaan tudung ekslusif dihiasi kristal Swarovski yang bernilai RM50,000 pada sidang media sempena penyerahan tudung Bawal Ekslusif tersebut di St. Regis Hotel, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2019.

Menurut pemilik butik berkenaan, Datin Hamizan Putih pada mulanya beliau tidak percaya akan menerima tempahan daripada pelanggan tetapnya itu.

Katanya, ahli perniagaan tersebut yang tidak mahu dikenali itu beria-ia benar mahu menempah tudung berkenaan menyebabkan beliau terpaksa merujuk kepada pembekalnya syarikat hijab mewah tempatan iaitu Bawal Exclusive.

“Saya tak sangka akan menerima tempahan tudung yang semahal ini. Semua itu rezeki dari Allah.

“Pada mulanya, pembeli hendak menempah tudung tersebut dengan menggunakan kain warna tanah (coklat) tetapi saya mencadangkan agar ditukar ke warna hitam agar ia nampak lebih menyerlah,” katanya kepada Malaysia Gazette selepas sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri pula berkata, tudung tersebut dihasilkan oleh Swarovski di Austria dan mengambil masa selama tiga bulan untuk menyiapkannya.

MGF27052019_TUDUNG BAWAL SWAROVSKI10
Pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri bercakap pada sidang media sempena penyerahan tudung Bawal Ekslusif bernilai RM50,000 di St. Regis Hotel, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2019.

Katanya, sebelum menerima tempahan itu syarikatnya mengambil bayaran sebanyak 50 peratus terlebih dahulu daripada pembeli.

“Selalunya kalau tempahan yang mahal sebegini pemilik butik-butik premium kami akan berjumpa dengan saya sendiri untuk berbincang yang dikehendaki oleh pelanggan mereka itu.

MGF27052019_TUDUNG BAWAL SWAROVSKI02
Rekaan tudung ekslusif dihiasi kristal Swarovski yang bernilai RM50,000 pada sidang media sempena penyerahan tudung Bawal Ekslusif tersebut di St. Regis Hotel, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2019.

“Segala rekaan mereka beri kepercayaan kepada kami untuk mereka apa yang sesuai dan kita melihat banyak aspek termasuk apa yang disukai oleh pembeli supaya pereka di Austria dapat memahami apa yang sesuai untuk rekaannya,” ujarnya.

Tambahnya, syarikatnya pernah menerima tempahan tudung berharga RM17,000 hingga RM33,000 sehelai dan bakal menerima satu lagi tempahan tudung tahun ini yang bernilai RM65,000 sehelai daripada seorang pembeli berasal dari Sabah.

MGF27052019_TUDUNG BAWAL SWAROVSKI04
Pengunjung mengambil gambar tudung ekslusif dihiasi kristal Swarovski yang bernilai RM50,000 pada sidang media sempena penyerahan tudung Bawal Ekslusif tersebut di St. Regis Hotel, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2019.

Tambah beliau, syarikatnya sering berkolaborasi dengan Swarovski dan sehingga kini menjadi pemborong terbesar jenama kristal di dunia. – MalaysiaGazette