Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis ditahan selepas dipercayai mengugut ibunya dengan menggunakan pisau dan tukul besi.

Kejadian dilapor berlaku di Felda Semenchu dekat Kota Tinggi dan suspek yang berusia 29 tahun ditangkap pada Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, anggota polis yang bertugas di bahagian tugas am, di Balai Polis Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan itu ditahan selepas abangnya membuat laporan.

Katanya, bertindak atas aduan yang dibuat pada pukul 12.20 pagi sepasukan anggota dari Balai Polis Teluk Sengat telah pergi ke tempat kejadian itu berlaku.

“Suspek berjaya ditahan serta turut dirampas barang kes iaitu sebilah pisau dan satu tukul besi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek yang berkhidmat sejak 2012 dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, suspek yang sudah bercerai mempunyai dua orang cahaya mata itu turut mempunyai rekod lampau di bawah akta 15(1)(a) APD. 1952.

Suspek kini direman mulai 24 hingga 30 Mei ini dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah, tegasnya. – MalaysiaGazette