Seorang broker jualan kenderaan bergelar Datuk, yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek kerajaan bernilai jutaan ringgit, dibebaskan hari ini.

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah sedang menjalankan siasatan berhubung penyelewengan dana sebuah persatuan yang melibatkan seorang individu bergelar Datuk Seri.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, Datuk Seri terbabit yang memegang jawatan penting dalam persatuan itu disyaki terlibat dalam penyelewengan dana mencecah jutaan ringgit.

“Kita terima maklumat berlaku penyelewengan dalam persatuan itu. Sekarang masih dalam proses siasatan lagi dan kita juga telah panggil kakitangan dalam persatuan itu untuk disoal siasat.

“Datuk Seri yang merupakan bekas ahli politik dan dianggarkan berumur 60-an itu masih belum dipanggil dan kalau perlu dia akan dipanggil untuk bantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lain mengenai kes itu.

Shaharom Nizam berkata, SPRM juga juga sedang menjalankan siasatan terhadap pihak pengurusan tertinggi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berhubung kes tuntutan palsu yang turut mencecah nilai jutaan ringgit.

Sementara itu, Shaharom Nizam berkata, pada tahun ini pihaknya telah membuka sebanyak 50 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan di negeri ini dan menahan seramai 79 individu terdiri daripada 29 penjawat awam serta 50 orang awam.

Katanya, sebanyak 12 pertuduhan telah pun dibuat di mahkamah pada tahun ini.

“Banyak lagi kes yang sedang dalam kajian tetapi kita akan berusaha untuk mempercepatkan siasatan bagi membolehkan kes tersebut dibawa ke mahkamah,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama lebih 10 pegawai dan anggota SPRM menyampaikan sumbangan kepada 10 keluarga terdiri daripada golongan kurang berkemampuan di sekitar Alor Setar menerusi Pogram Ziarah Ramadan yang julung kali diadakan.

“Sumbangan yang disampaikan ini diharap dapat membantu mereka yang memerlukan dan dalam masa yang sama kita mahu berkongsi kegembiraan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya. – MalaysiaGazette