Harussani Zakaria

IPOH – Jawatankuasa masjid dan surau yang ingkar dengan larangan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang tidak membenarkan program politik diadakan dalam premis mereka boleh dianggap sebagai menderhaka.

Mufti Perak Harussani Zakaria berkata, titah Sultan Perak itu perlu dipatuhi kerana program politik di dalam rumah ibadat boleh menimbulkan pergaduhan antara dua kumpulan yang berbeza ideologi.

“Politik adalah urusan keduniaan dan ia tidak ada kena mengena dengan agama dan kerana itu soal politik tidak boleh dibawa bercakap di dalam masjid.

“Masjid dibolehkan sebagai tempat untuk urusan mesyuarat, pengajian dan syarahan agama yang tiada unsur politik,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada fakir miskin anjuran Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Instiadat Melayu Perak (Maipk) di Parit Buntar, hari ini.

Seramai 200 orang menerima sumbangan dari daerah Kerian dan Selama menerima sumbangan wang tunai RM200 serta beras pada majlis itu.

Semalam Sultan Nazrin memberi perkenan agar pengerusi masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk program parti politik digantung tugas sementara siasatan ke atas mereka dijalankan.

Sementara itu Pengerusi Yayasan Muhibah Fng Ah Seng berkata, penyaluran bantuan setiap tahun itu bertujuan meringkan beban mereka yang kurang bernasib baik. – MalaysiaGazette