Jalan Brickfields, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya nama salah satu jalan di Brickfields ditukar kepada Jalan Harmoni disifatkan buta sejarah kerana mengeluarkan kenyataan tanpa mengkaji dan berfikir panjang.

Idea yang dicetuskan oleh Datuk Seri Mujahid Yusof itu dilihat tidak lebih daripada agenda ‘politik’ yang tidak membawa apa-apa manfaat.

Sebaliknya, ia akan menyemarakkan rasa kecewa, tidak puas hati dalam kalangan rakyat terutama yang mengetahui sejarah tempat tersebut.

Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, kononnya sebagai ‘simbolik perpaduan’ sebenarnya akan hanya mencetuskan perselisihan faham.

Exco Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV), Mathis Sarawanan menegaskan, perpaduan tidak akan terbina dengan hanya sekadar menukar nama jalan atau gah bercakap dengan slogan-slogan dalam papan tanda sahaja.

Sebaliknya, Mathis yang juga Ketua Pemuda MIC Bayan Baru meminta Mujahid menyelami sejarah sehingga wujudnya nama-nama jalan yang ada sekarang.

Mathis Sawanan“Tahukah Mujahid bahawa pemberian nama baharu seperti Jalan Harmoni yang dicadangkannya itu bukan satu-satunya cara untuk menyatupadukan umum?

“Cadangnya nak dibuat benda ini kerana di jalan tersebut  terdapat banyak rumah ibadat semua agama, kononnya sebagai simbolik perpaduan. Jalan yang dikatakan itu Jalan Tun Sambathan, Jalan Sultan Abdul Samad, Jalan Berhala, Jalan Scott dan Jalan Thambipillai.

“Tapi dengan memadam nama jalan tertentu seperti Jalan Tun Sambathan sebenarnya umpama memadam legasi seorang pemimpin tersohor hanya kerana kepentingan politik segelintir pihak sahaja, kenali sejarah terlebih dahulu.

“Jangan membuat tuli mahu lakukan sesuatu semata-mata atas semangat ‘Malaysia Baharu’ anda sehingga mahu memadam semua yang ada sebelum ini, bukan perpaduan sebaliknya akan huru-hara negara ini,” katanya.

Beliau membayangkan perbezaan pendapat berhubung pertukaran nama itu pasti wujud dan akhirnya hanya mewujudkan sentimen yang tidak baik, sekali gus memecah belah perpaduan.

Mathis mengakui beliau sendiri sakit hati dengan sikap yang ditonjolkan oleh para netizen dalam komen-komen berhubung cadangan itu terutama komen daripada perspektif kaum dan agama.

Katanya lagi, beliau tidak bercakap atas kapasiti MIC sebaliknya sebagai individu dalam masyarakat yang cukup terkesan dengan tindak tanduk segelintir pemimpin yang kerap kali mengeluarkan kenyataan atau cadangan tidak lebih daripada kepentingan politik semata-mata.

“Banyak perkara lain yang lebih berfaedah dalam mengukuhkan perpaduan daripada menamakan semula sebuah jalan,” ujarnya. –
MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Syabas buat Saudara Mathis! Kita memerluka lebih ramai lagi golongan muda yang berfikiran matang dalam politik.

Comments are closed.