KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kenaikan harga minyak, memulihkan beberapa permintaan terhadap nota tempatan, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit menokok kepada 4.1850/1900 berbanding dolar AS berbanding 4.1870/1900 penutup Jumaat.

Penanda aras minyak mentah Brent didagangkan 0.56 peratus lebih tinggi pada AS$67.85 satu tong, pada masa penulisan.

Peniaga juga berkata, ketegangan perdagangan AS-China yang surut mengurangkan kebimbangan dalam kalangan pelabur berikutan laporan bahawa Trump boleh mengurangkan sekatan terhadap Huawei Technologies Inc sebagai sebahagian daripada perjanjian perdagangan yang lebih besar dengan China.

Di peringkat tempatan, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada hujung minggu berkata kerajaan sedang berusaha menarik lebih banyak pelaburan asing untuk meningkatkan ekonomi negara dan mengukuhkan lagi ringgit.

Sementara mengakui bahawa perang perdagangan menjejaskan prestasi ringgit, keadaan itu menurut beliau boleh dielakkan sekiranya Malaysia tidak terlalu bergantung pada import.

Ringgit, bagaimanapun, didagangkan lebih lemah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia lebih lemah berbanding dolar Singapura pada 3.0452/0499 daripada 3.0404/0431 pada Jumaat dan menyusut nilainya berbanding yen Jepun kepada 3.8226/8282 daripada 3.8178/8216.

Nota tempatan itu juga merosot berbanding pound British kepada 5.3246/3330 daripada 5.3158/3213 dan turun berbanding euro kepada 4.6897/6970 daripada 4.6844/6894 pada Jumaat. – MalaysiaGazette