Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) berbual dengan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz (dua kanan) dan Presiden TRP, Datuk Abu Bakar Jais (kanan) ketika melawat bilik pada Majlis Perasmian Bilik Pendengaran Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) di Pejabat KPDNHEP, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 27 MEI 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyediakan Bilik Pendengaran Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) sebagai persediaan menghadapi kes yang berprofil tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun bilik itu ditempatkan di bangunan kementerian berkenaan di Putrajaya, setiap perbicaraan rayuan adalah bebas dari campur tangan kerajaan.

Katanya, kewujudan TRP ini juga perlu kerana bilangan penyiasatan kes persaingan oleh pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) adalah berterusan dan bertambah dari semasa ke semasa.

“Oleh itu, kita menjangkakan kes rayuan yang difailkan di TRP juga akan turut meningkat.

“Ini dapat dilihat berpandukan antara lain tindakan yang diambil oleh MyCC terhadap Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan 22 ahlinya yang melibatkan jumlah penalti yang besar iaitu RM213.45 juta.

“TRP juga turut mendengar kes ‘bid rigging’ yang melibatkan lapan syarikat yang berpakat secara sulit bagi mendapatkan kontrak dalam perolehan awam,” katanya pada pemberita selepas merasmikan Bilik Pendengaran TRP di KPDNHEP di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin Nasution, selain kes berkenaan, MyCC juga mengeluarkan suatu keputusan cadangan terhadap Dagang Net Technologies Sdn. Bhd.

Syarikat itu didakwa menyalahgunakan kedudukan dominannya dalam penyediaan kemudahan perkhidmatan perdagangan ‘National Single Window’, yang mana Dagang Net didapati enggan membekalkan peti mel elektronik kepada pengguna Sistem Maklumat Kastam dan juga mengenakan sekatan kemasukan ke tahap yang boleh memudaratkan persaingan.

Kata beliau, semua kes itu akan didengar di TRP yang lebih selesa tanpa lagi perlu menyewa premis lain dengan kadar RM2,600 setiap kali persidangan sebelum ini.

Bilik Pendengaran TRP juga akan manfaat bukan sahaja kepada tribunal itu sendiri dari aspek penjimatan kos sewaan tempat pendengaran, bahkan memberi keselesaan kepada Panel Pendengaran Rayuan. – MalaysiaGazette