WHAM dan YKAT meraikan artis-artis veteran dan anak-anak yatim pada satu majlis iftar di Malaysia Petroleum Club KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan (WHAM) dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) meraikan artis-artis veteran dan anak-anak yatim pada satu majlis iftar di Malaysia Petroleum Club KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis yang diadakan buat kali pertama anjuran Wham bersama YKAT itu, secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan wartawan bersama artis dan di samping program kemasyarakatan.

Menurut Presiden WHAM iaitu Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, program berbuka puasa ini merupakan kali pertama anjuran kerana beranggapan hubungan wartawan dengan artis tidak pernah terpisah sejak dahulu lagi.

“Kita sudah anggap hubungan wartawan dan artis tak pernah terpisah dari dahulu sampailah sekarang. Ini kali pertama WHAM menganjurkan program berbuka puasa bersama YKAT.

“Zaman sekarang wartawan bukan hanya menulis berita hiburan tapi mampu melakukan banyak kerja dalam masa yang sama dan program ini juga diadakan bagi mendekatkan diri dengan masyarakat,” katanya.

Pada majlis itu, WHAM turut menyampaikan sumbangan kepada empat rumah kebajikan iaitu Rumah Ngaji Barokah, Rumah Asnaf Temerloh, Rumah Anak Yatim Cahaya Kasih Bestari Kuala Lumpur dan Rumah Anak Yatim Sungai Kantan, Kajang.

Tidak dilupakan, YKAT turut memberi sumbangan kepada artis veteran iaitu Dian P. Ramlee, Halimah Alias, Ayati Ahmad Tasrip, Norliah Shamsudin, Lan Zailan, Maheswara A/L Palanisamy, Rohaiyah Mohd Amin, Subramani A/L Ellapan dan Raja Puria A/L Angamuthu.

“Hari ini YKAT meneruskan kebiasaan, menyampaikan sumbangan kepada artis yang layak menerima bantuan. Sebanyak 17 artis diraikan kali ini,” kata Presiden YKAT, Datuk DJ Dave.

Selain itu, YKAT juga turut memberi sumbangan kepada keluarga pemain bas iaitu Wan Kelly yang meninggal dunia baru-baru ini yang diwakili anaknya, Wan Adam Nuqman.

Majlis sederhana tapi meriah ini dihiburkan dengan persembahan artis-artis popular seperti Nabila Razali, Azharina dan E1 band.

Malah, majlis itu turut dihadiri pelakon Yana Samsudin bersama anak serta suaminya, Fadzil Zahari, Adira dan Datin Mas Anizan bersama anaknya. – MalaysiaGazette