Penghuni-penghuni Darul Ukhuwah ketika menunaikan solat fardhu maghrib secara berjemaah pada Program Bersama Penghuni Darul Ukhuwah di Jalan Tempinis, Kampung Tengah, Puchong, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 26 MEI 2019

PUCHONG – “Kami sedar kami melakukan kesilapan besar dalam hidup hingga ‘dihukum’ di atas dunia lagi namun sedangkan Allah sendiri menerima taubat hambanya, mengapa kita sebagai manusia terus-terusan hendak menghina?”.

Begitulah rintihan Adam (bukan nama sebenar), salah seorang pekerja swasta yang disahkan dijangkiti kuman HIV beberapa bulan lalu.

Beliau yang pada asalnya hanya mengalami demam biasa dan batuk disahkan dijangkiti kuman berbahaya tersebut setelah melalui ujian darah yang dilakukan pihak hospital.

Menurut Adam, dia terlibat dalam seks bebas dengan ramai lelaki gay yang dikenalinya dalam laman sosial.

Dia yang mengakui dipinggirkan oleh keluarganya sendiri kesan daripada kuman tersebut akhirnya memilih untuk tinggal di rumah perlindungan Darul Ukhuwah, Yayasan Al-Ijabah di Kampung Tengah dekat sini.

Di rumah perlindungan tersebut, terdapat lebih 40 orang penghuni yang ‘senasib’ dengannya dan mereka diajar dengan pelbagai disiplin dalam ilmu agama di samping dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mengikut jadual yang ditetapkan.

MGF26052019_PROGRAM BERSAMA UKHUWAH01 copy
Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Ustaz Rafieudin bersalaman dengan sebahgaian penghuni Darul Ukhuwah pada Program Bersama Penghuni Darul Ukhuwah di Jalan Tempinis, Kampung Tengah, Puchong, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 26 MEI 2019

“Di bulan Ramadan ini, kita selalu tengok masyarakat lebih gemar untuk menyantuni anak-anak yatim, meraikan mereka dalam majlis-majlis iftar, dibelikan pakaian baru dan sebagainya.

“Tidak ada salahnya untuk berbuat demikian tetapi janganlah dilupakan kami yang kini sedang bertarung dengan kesakitan, entah kami masih ada atau tidak untuk menyambut bulan yang mulia ini pada tahun hadapan,” katanya sambil menitiskan airmata.

Dia ditemui ketika dalam majlis berbuka puasa anjuran bersama Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) di Darul Ukhuwah di sini semalam.

MGF26052019_PROGRAM BERSAMA UKHUWAH26 copy
Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Ustaz Rafieudin menerangkan perkara-perkara mengenai pengurusan jenazah pada Program Bersama Penghuni Darul Ukhiwah di Jalan Tempinis, Kampung Tengah, Puchong, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 26 MEI 2019

Sementara itu salah seorang penghuni, Kamal (bukan nama sebenar) mengakui bukan semua yang dijangkiti kuman HIV/AIDS berpunca daripada perbuatan si penghidap itu sendiri.

Mengambil contoh dirinya, Kamal berkata, beliau mendapat kuman tersebut setelah terlibat dalam pergaduhan dengan seorang penagih dadah tidak lama dulu.

Ujar Kamal, ketika pergaduhan tersebut, penagih berkenaan telah mengambil tindakan drastik dengan menyerangnya menggunakan satu alatan suntikan yang telah dicemari virus berkenaan.

MGF09012019_Interview Ustaz Abdullah Al Amin_09
Sebahagian pesakit yang menghuni di Rumah Perlindungan HIV Muslim Darul Ukhuwah di Kampung Tengah, Puchong, Selangor. foto IQBAL BASRI, 09 JANUARI 2019

“Saya masih ingat, dia datang dari belakang sebelum mencucuk leher saya dengan menggunakan satu alat suntikan yang berada di tangannya.

“Tidak lama selepas itu, saya sering sakit-sakit dan setelah menjalani ujian darah, doktor mengesahkan yang virus tersebut telah menyerang tubuh saya, dipercayai kesan daripada jarum suntikan berkenaan.

“Walaupun saya mempunyai pekerjaan yang baik, saya mengambil keputusan untuk tinggal di sini, banyak benda yang saya belajar terutama hal-hal berkaitan agama cuma saya tak dapat menyembunyikan kesedihan saya kerana kami pesakit HIV/AIDS ini sering dihina, malah ada yang sampai sekarang ‘cuak’ untuk bersalaman, kononnya dengan bersalam pun virus boleh masuk ke tubuh mereka,” kata Kamal.

MGF26052019_PROGRAM BERSAMA UKHUWAH21 copy
Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Ustaz Rafieudin menunjukkan cara-cara pengurusan jenazah pada Program Bersama Penghuni Darul Ukhiwah di Jalan Tempinis, Kampung Tengah, Puchong, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 26 MEI 2019

Sementara itu, Pengerusi SPJM, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkata, golongan penghidap HIV/AIDS ini tidak sepatutnya dipinggirkan walaupun ramai di antara mereka yang melakukan kesilapan dalam hidup hingga dijangkiti virus berbahaya itu.

Atas kesedaran tersebut, pihaknya datang ke Darul Ukhuwah untuk berjumpa sendiri penghuni rumah berkenaan dan mengadakan majlis Iftar bersama termasuk mengadakan kursus pengurusan jenazah untuk mereka.

MGF26052019_PROGRAM BERSAMA UKHUWAH23 copy
Penghuni-penghuni Darul Ukhuwah ketika menunaikan solat fardhu maghrib secara berjemaah pada Program Bersama Penghuni Darul Ukhuwah di Jalan Tempinis, Kampung Tengah, Puchong, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 26 MEI 2019

“Kita sendiri pun tak tahu entah-entah ahli keluarga kita juga mungkin dijangkiti virus tersebut, oleh itu jangan sama sekali menghina atau menyisih mereka ini.

“Mereka mungkin gagal di dunia tetapi mudah-mudahan mereka tidak akan gagal di akhirat kelak, InshaAllah,” ujarnya. – MalaysiaGazette