Dr. Mujahid Yusof Rawa
Dr. Mujahid Yusof Rawa

BANGI – Kenyataan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Zukri Samat bahawa TH mampu memberi pulangan hibah yang lebih baik untuk tahun ini berbanding kadar 1.25 peratus membuktikan proses pemulihan TH semakin membuahkan hasil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, langkah itu semakin memberangsangkan apabila tabung itu mencatatkan keuntungan pada suku pertama tahun ini.

“Prestasi setakat ini apabila kita buat pemulihan dan sebagainya, kita berada di landasan yang tepat bahkan mencatatkan sedikit keuntungan pada suku pertama dan setiap suku kita akan dedahkan supaya orang ramai boleh lihat.

“Maka dengan perbaiki itu pun kita masih mampu buat lebihan RM1 bilion tanggungan dan aset dan kita ada sedikit untung. Itulah yang kita dapat 1.25 peratus,” katanya kepada media selepas merasmikan Simposium Pendakwah dan pelantikan Duta Rahman di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), sebentar tadi.

TH menerusi Zukri berkata pulangan hibah yang lebih pada tahun ini bersandarkan prestasi suku pertama pengurus dana haji itu yang memberangsangkan serta suku kedua yang dijangka lebih baik.

Katanya, pendapatan TH dijangka terus meningkat mulai suku kedua dengan penerbitan sukuk oleh syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang akan memberi pulangan hampir RM800 juta setahun yang dijangka diterbitkan sebelum akhir bulan ini.

Zukri juga berkata,TH merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM440 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019.

Ia turut merekodkan pendapatan berjumlah RM623 juta bagi tempoh dikaji dan jumlah asetnya juga melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM1.2 bilion.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, TH berjaya mengembalikan kepercayaan pelabur berdasarkan pelbagai usaha yang dilakukan bagi membawa kegemilangan semula TH.

“Hibah ini tak boleh diberi jaminan tetapi bergantung kepada syarat tertentu berpandukan Akta Lembaga TH Seksyen 22 yang menyatakan satu kena ada untung dan aset tidak boleh rendah daripada tanggungan,” katanya lagi.

TH pada April lalu, mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.