Tommy Thomas
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Peguam Negara mengemukakan beberapa alasan mengapa peguam Syazlin Mansor sepatutnya menolak mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menurut Tommy Thomas,  sebagaimana kementerian dan jabatan kerajaan yang lain, KPKT dan JBPM perlu mendapatkan nasihat undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara dan peguam luar pula mesti dilantik oleh Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Berikutan itu, katanya, Syazlin berada dalam kedudukan konflik kepentingan apabila beliau bersetuju untuk mewakili KPKT dan JBPM kerana beliau juga turut mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues ini.

“Kepentingan pihak-pihak ini mungkin bertentangan dan adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima apabila beliau mewakili ketiga-tiga pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mahkamah Koroner dikejutkan dengan penarikan diri Syazlin Mansor tanpa memberikan sebarang penjelasan.

Sebaliknya, peguam itu berkata, keputusan tersebut dalam masa sama akan membatalkan saksi ke-29 daripada pihak mereka iaitu Profesor Dr Shahrom Abd Wahid, yang sepatutnya memberi keterangan kali kedua semalam.

Selain itu menurut Tommy, pegawai-pegawai beliau yang melaksanakan tugas mereka membantu Koroner telah memaklumkan kepadanya bahawa Syazlin telah mengambil peranan yang aktif di dalam inkues ini.

Malah Syazlin sering mengambil kedudukan yang bercanggah daripada kedudukan yang diambil oleh Timbalan Pendakwa Raya, katanhya.

“Perkara ini adalah memalukan beliau dalam kapasitinya sebagai peguam bagi KPKT,” tambahnya.

Peguam Negara berkata, suami Syazlin juga adalah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan atas sebab ini beliau telah memohon agar Zuraida Kamaruddin menarik balik pelantikan Syazlin daripada terus mewakili KPKT dan JBPM.

Sementara itu, Tommy berkata, beliau amat terkejut apabila mendapat tahu melalui bahawa Syazlin turut menarik diri daripada mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Menurutnya, keputusan itu dibuat secara rela dan tanpa sebarang pengaruh daripada Jabatan Peguam Negara.

Tambah beliau, pengendali yang membantu Koroner dalam inkues itu, Faten Hadni Khairuddin telah bercakap secara peribadi dengan Syazlin dan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara tiada sebarang isu sekiranya beliau terus mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib .

“TPR Faten telah meminta Syazlin untuk terus mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib supaya prosiding boleh diteruskan dan Prof. Dr. Shahrom Abd Wahid boleh dipanggil semula untuk memberi keterangan lanjut,” jelas beliau.

Namun katanya, Syazlin tetap dengan keputusannya untuk menarik diri dan peranan Dr Shahrom dalam inkues tidak terjejas dengan penarikan diri peguam itu.

Tommy berkata, TPR Faten juga telah memaklumkan kepada Koroner bahawa Jabatan Peguam Negara bersedia untuk membantu Koroner dengan mengeluarkan sapina kepada Dr. Shahrom dan pihaknya akan terus berbuat demikian. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/27/inkues-adib-peguam-kpkt-bomba-tarik-diri/