Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Bangunan Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 28 MEI 2019

PETALING JAYA – Bercakap tentang kaum dan kepentingannya bukan bermaksud Menteri Pendidikan Dr Maslee Malik rasis.

Sebaliknya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia merupakan keperluan untuk mendapatkan sokongan Bumiputera dan seterusnya kekal menang pada pilihan raya akan datang.

“Dia  bercakap pasal kaum bukan bermaksud dia rasis.

“Dalam parti kita (Pakatan Harapan) ramai juga cakap pasal kaum, cakap pasal kepentingan masing-masing. India cakap pasal India, Cina cakap pasal Cina, Melayu cakap pasal Melayu, Iban cakap pasal Iban, Kadazan cakap pasal Kadazan. Tapi kita semua rakyat Malaysia.  Kita perlu pastikan kita dapatkan sokongan daripada semua Bumiputera.

“Kalau kita tak jelaskan pendirian kita tentang kaum, saya rasa kita kalah dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT).

Pada 24 April lalu, Kabinet bersetuju sebulat suara mengekalkan kuota kemasukan dengan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera, manakala 10 peratus kepada bukan Bumiputera.

Maszlee kemudian berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi, juga perlu membangkitkan isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu.

Kenyataannya itu mengundang kritikan beberapa pihak, antaranya Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker; Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

Ekoran itu wujud petisyen mendesak agar Menteri Pendidikan itu ditukar.

Bagaimanapun, Perdana Menteri kekal dengan pendiriannya sebelum ini tidak akan memecat Maszlee.

“Saya tak nampak apa-apa masalah dengan Maszlee. Dia cuma suruh tukar warna kasut yang lain semua okay,” katanya lagi.-MalaysiaGazette